SAINT PETERSBURG – Peluang Sweden untuk melangkah ke peringkat kalah mati kembali terbuka hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Slovakia pada aksi kedua Kumpulan E, Euro 2020 di Stadium Krestovsky sebentar tadi.
Ia adalah kemenangan pertama Sweden dalam kempen kali ini selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan Sepanyol sewaktu perlawanan pertama pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, Sweden tidak boleh cepat berasa selesa meskipun sudah mengumpul empat mata daripada dua perlawanan kerana prestasi yang dipamerkan berhadapan Slovakia masih belum meyakinkan.
Apa tidaknya, jentera serangan skuad bimbingan Janne Anderson itu dilihat tumpul kerana gagal menghasilkan gol menerusi permainan terbuka daripada 12 percubaan yang dilakukan ke arah gawang Slovakia.
Sebaliknya, Sweden terpaksa mengharapkan gol daripada sepakan penalti untuk meraih kemenangan selepas penjaga gol Slovakia, Martin Dubravka menjatuhkan penyerang gantian, Robin Quaison pada minit ke-75.
Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya bintang Sweden, Emil Forsberg menerusi rembatan rendah ke sudut sebelah kanan gawang Slovakia yang gagal ditepis Dubravka meskipun sudah dapat dibaca oleh penjaga gol Newcastle United itu.
Ternyata, ketiadaan penyerang berpengaruh AC Milan, Zlatan Ibrahimovic yang tidak terpilih ke Euro 2020 kerana masalah kecederaan sedikit sebanyak dilihat meninggalkan kesan terhadap jentera serangan Sweden.
Begitupun, pujian harus diberikan kepada penyerang muda Sweden berusia 21 tahun, Alexander Isak kerana bekerja keras sepanjang perlawanan dengan melakukan banyak rembatan ke arah pintu gol Slovakia yang kebanyakannya tersasar.
Sweden yang dianggap antara pasukan ‘kuda hitam’ untuk kempen kali ini, mampu mengesahkan slot mereka ke peringkat kalah mati sekiranya berjaya menewaskan Poland pada aksi terakhir Kumpulan E pada 24 Jun ini.
Slovakia pula terpaksa menerima hakikat laluan lebih sukar menanti mereka kerana perlu menewaskan Sepanyol pada aksi terakhir 24 Jun nanti jika mahu melangkah ke peringkat kalah mati. – K! ONLINE