PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara, Che Puan Juliana Evans menarik perhatian pengikut Instagramnya selepas memuat naik sekeping gambar sambutan ulang tahun kelahiran suaminya, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah kelmarin.
Sambutan itu diadakan secara sederhana di kediaman pasangan tersebut.
Rata-rata pengikut mendakwa, Juliana atau nama sebenarnya, Juliana Sophie Johari Evans, 32, sedang hamil anak kedua.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik, perut Juliana kelihatan sedikit membesar seakan baby bump yang memberi gambaran pelakon itu sedang hamil.
“Mily (panggilan nama anak sulung Juliana) bakal dapat adikkan? Nampak (perut) dah tu,” komen seorang pengikutnya.
“Saya nampak bentuk baby bump,” kata seorang lagi pengguna Instagram.
Menerusi hantaran sama, Juliana turut mendapat perhatian apabila mendedahkan dia hanya menggunakan dekorasi yang dibeli di kedai perkakasan biasa untuk memberi kejutan kepada suaminya pada majlis tersebut.
“Harap awak (Tengku Shariffuddin) suka sambutan yang sederhana ini sayang,” tulisnya.
Dalam hantaran tersebut, Juliana turut sempat menitipkan kata-kata istimewa dengan mengucapkan terima kasih buat Tengku Shariffuddin kerana menjadi suami dan juga ayah yang terbaik.
“Terima kasih kerana menjadi suami yang baik dan ayah yang penyayang untuk anak kita. Awak telah memberikan kegembiraan dan kasih sayang yang cukup untuk saya.
“Saya adalah isteri yang paling berbangga. Semoga keluarga kita bertambah besar dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Alhamdulillah Amin,” katanya.
Perkongsian pelakon yang pernah membintangi filem Hantu Bonceng itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang turut mengucapkan selamat hari lahir kepada suaminya.
Juliana dan Tengku Shariffuddin Shah mendirikan rumah tangga pada April 2017.
Pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah berusia dua tahun. -K! ONLINE