BEIJING – Sekumpulan saintis di China melakukan eksperimen mirip kisah seram Frankenstein untuk memaksa tikus jantan beranak, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Kumpulan saintis dari Universiti Perubatan Naval di kota raya Shanghai melakukan eksperimen pelik itu yang melibatkan empat langkah utama.
Langkah pertama adalah melekatkan tikus putih jantan dan tikus putih betina dengan melekatkan kulitnya kedua-duanya dengan tikus-tikus itu turut berkongsi darah.
Langkah kedua adalah memindahkan uterus daripada tikus betina lain ke dalam badan tikus jantan dan memindahkan embrio ke dalam badan tikus jantan dan betina.
Embrio itu kemudian akan dibiarkan selama 21.5 hari sebelum saintis melakukan pembedahan Caesarean.
Selepas tikus-tikus jantan itu beranak, pasukan penyelidik tersebut sekali lagi melakukan pembedahan untuk memisahkan tikus jantan dan betina.
Mereka mendapati haiwan itu dapat hidup selama tiga bulan selepas pembedahan.
Kumpulan saintis itu berkata, kajian itu menunjukkan anak tikus yang lahir daripada eksperimen tersebut boleh hidup seperti biasa dan tiada sebarang isu kesihatan dikesan.
Bagaimanapun, mereka turut menemui beberapa ‘fetus yang mati dan mempunyai morfologi dan warna berbeza berbanding fetus biasa’.
“Buat pertama kalinya, kami berjaya menghasilkan model kehamilan mamalia jantan.
Kajian itu mendedahkan kemungkinan perkembangan embrionik normal dalam kalangan haiwan mamalia jantan dan mungkin mempunyai impak besar terhadap penyelidikan biologi reproduktif,” demikian menurut kertas kajian itu.
Penasihat Dasar Sains Kanan Pertubuhan Hak Asasi Haiwan (PETA), Emily McIvor bagaimanapun menyifatkan eksperimen itu sebagai ‘keji’ dan berkata, haiwan tidak boleh diperlakukan umpama ‘objek pakai buang’.
“Dalam kajian ‘keji’ ini, selepas tikus betina dan jantan dicantumkan, badan tikus jantan dibelah untuk diletakkan uterus dan embrio hanya untuk memastikan sama ada haiwan jantan boleh bunting.
“Eksperimen ini dibuat semata-mata kerana rasa ingin tahu dan bukannya untuk lebih memahami sistem reproduktif manusia,” jelas McIvor. – Agensi