PETALING JAYA – Klip video dari aplikasi TikTok memaparkan tindakan seorang wanita membuka kotak mengandungi seekor monyet yang dipercayai dibeli secara online mendapat kecaman netizen.
Video berdurasi 25 saat yang dimuat naik semula oleh pemilik akaun Twitter bernama @_Nik itu ditonton lebih 33,000 kali dan diulang kicau lebih 2,000 kali oleh pengguna laman media sosial tersebut.
“Mendidih hendak marahnya aku. Lepas itu yang tukang hantar kenapa bungkus monyet itu begitu.
“Beli RM1,000. Lepas itu beritahu pula monyet itu mati kerana orang yang jaga tidak beri makan. Anda tidak mengaku bukan anda yang jaga,” dedah @_Nik.
Kebanyakan netizen meluahkan rasa marah dan menyifatkan perbuatan wanita terbabit sebagai tidak berperikemanusiaan.
Monyet kecil dengan lingkaran putih di sekeliling mata itu kelihatan seperti ketakutan sebaik sahaja dikeluarkan dari kotak berkenaan.
“Kasihan ia nampak trauma. Bukan dalam rumah tempat tinggal monyet itu tetapi habitat semula jadinya di dalam hutan,” ujar seorang netizen bernama Faisalzulkar.
“Tak sanggup hendak tengok video. Baca komen-komen pun sudah rasa kemurungan,” ujar pemilik akaun bernama @jjepukpise
Turut memberi maklum balas ialah pengendali laman Twitter rasmi, Projek Langur Pulau Pinang (LPP) melalui akaun @LangurPenang yang menyatakan haiwan primat itu merupakan sejenis lotong.
“Jika memelihara lotong kecil, cepat matilah ia tanpa diet makanan yang betul dan tiada hutan sebagai habitat. Tolonglah monyet bukan haiwan peliharaan,” komen LPP.
Tinjauan Kosmo! mendapati akaun TikTok individu menggunakan akaun @mieda_24 yang dipercayai memuat naik video tersebut sudah diubah kepada tetapan peribadi. – K! ONLINE