TAHNIAH buat skuad bola sepak kebangsaan yang meraih kemenangan 1-0 ke atas pasukan Thailand pada awal pagi Rabu lalu sekali gus menyaksikan Malaysia layak secara ‘automatik’ ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.
Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Malaya yang dibimbing ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe mengutip 12 mata dalam saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang sudahpun menutup tirai.
Sebelum berangkat ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), skuad Harimau Malaya berada di kedudukan kedua dalam Kumpulan G dengan sembilan mata dan memiliki baki tiga perlawanan yang tertangguh sejak November 2019 akibat dunia dilanda pandemik Covid-19.
Menariknya, Malaysia boleh dikatakan berada di landasan terbaik untuk berjuang memburu slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 jika kekal sebagai naib juara, selain mampu meloloskan diri ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022.
Berdasarkan situasi itu, skuad Harimau Malaya dilihat memiliki keyakinan tinggi untuk menyelesaikan misi yang tertangguh selama 18 bulan itu apatah lagi mendapatkan suntikan dua ‘tonik naturalisasi’ dalam pasukan.
Selain Mohamadou Sumareh, Cheng Hoe menyenaraikan Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula dalam 25 senarai pemain selepas kedua-dua import tersebut memperoleh status naturalisasi dan
dicanang-canang memantapkan Harimau Malaya.
Disangka panas sehingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Dua aksi pemanas badan menentang Kuwait (tewas 4-1) dan Bahrain (tewas 2-0) sudah menampakkan betapa canggungnya persembahan Harimau Malaya, namun nadanya kekal sama, ada peningkatan.
Peminat dan rakyat Malaysia akur, mungkin hanya aksi pemanas badan, jadi tidak perlu diperbesar-besarkan. Bagaimanapun, apabila dibelasah 4-0 oleh UAE pada saingan Kumpulan G, masih ada lagi alasan-alasan yang diberikan di atas kekalahan itu dengan ikrar kebangkitan.
Seminggu kemudian, kalah pula kepada Vietnam 2-1 dan ia benar-benar menghancurkan hati peminat bola sepak tanah air yang melampiaskan kemarahan di laman media sosial dengan pelbagai kecaman terutama kepada pemain naturalisasi.
Pada penulis, para penyokong sememangnya berhak untuk marah, namun menuding jari kepada isu naturalisasi menjadi punca kekalahan sebenarnya tidak tepat kerana bola sepak permainan berpasukan dan seharusnya kesemua pemain harus bertanggungjawab.
Malah, isu naturalisasi juga tidak salah dan Malaysia masih perlukan sistem tersebut, cuma pemilihan pemain naturalisasi itu kena bijak dan tepat, bukan semberono serta tangkap muat. Apa gunanya pilih pemain naturalisasi jika keberadaannya lebih kurang sama tahap pemain tempatan? – K! ONLINE