PETALING JAYA – Pelaksanaan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) dijangka akan mempercepatkan pemberian vaksin Covic-19 di negara ini terutamanya di kawasan luar bandar.
Menteri Perpaduan, Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique berkata, program tersebut yang turut mendapat kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membantu kerajaan meningkatkan jumlah pendaftaran dan penerimaan vaksin dalam kalangan masyarakat.
“Saya yakin pelaksanaan MOVAK akan dapat mempercepatkan lagi kadar pemberian vaksin di negara ini, terutama di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
“MOVAK akan digerakkan di beberapa negeri antaranya Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Halimah, MOVAK yang dikendalikan oleh sukarelawan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) itu merupakan satu inisiatif bagi menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya, terdapat tiga unit kerja di bawah MOVAK merangkumi unit panggilan, unit mobilisasi dan unit tindakan komuniti bertujuan melancarkan sesi pendaftaran vaksinasi.
“Unit Panggilan akan membuat panggilan pengesahan dan peringatan kepada penerima vaksin yang mendaftar tarikh janji temu mereka, manakala unit mobilisasi pula akan menyediakan pengangkutan untuk membawa penerima vaksin COVID-19 ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Bagi unit tindakan komuniti, ia akan bekerjasama dengan masyarakat untuk sesi pendaftaran pengambilan vaksin serta memberi maklumat, berkempen mengenai kesedaran pengambilan vaksin serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan memaklumkan keputusan kerajaan mengenai Covid-19,” katanya. – K! ONLINE.