fbpx

Misha Omar #menjejakkhadeja, mula uji tahap kesuburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MISHA OMAR bersama keluarga.

PETALING JAYA – Selepas lima tahun menimang cahaya mata sulung, penyanyi Misha Omar mendedahkan dia kini sedang menjalani rawatan kesuburan di sebuah pusat perubatan dalam usaha untuk mendapatkan cahaya mata kedua.

Sebagai ikhtiar, Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar, 40, sudah menjalani ujian hormon Anti-Mulleroian (AMH) menerusi pengambilan darah untuk mengetahui tahap kesuburan.

“Kami suami isteri merancang menambah cahaya mata sejak tahun lalu. Tapi sebenarnya proses yang saya lalui masih di peringkat awal dengan mendapatkan dulu nasihat pakar selain menjalani ujian kesuburan.

“Sama ada kehamilan itu nanti akan dilakukan menerusi rawatan kesuburan in-vintro (IVF), kaedah lain atau secara semula jadi, bergantung kepada hasil ujian yang dijangka keluar tiga minggu lagi.

“Paling penting saya mendapatkan nasihat dulu daripada pakar serta memahami keadaan kesiahatan dan perlu ikut proses satu persatu supaya kita tahu apa yang perlu dilakukan.

“Perjalanan ke arah mendapatkan ‘orang baharu’ dalam keluarga kecil kami itu nanti akan kami dokumentasikan sebagai perkongsian ilmu dengan orang lain,” katanya yang sudah mendapat nasihat pakar perbidanan, Dr. Azrai Abu dari Pusat Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Hari ini (semalam) saya berjumpa dengan Dr. Azrai Abu sebagai langkah pertama untuk ‘menjejak Khadeja’. Di setiap proses yang saya jalani, saya akan kongsi pengetahuan yang saya dapat dengan anda semua.

“Semoga dia anda akan mengiringi saya. Boleh juga dijadikan inspirasi bagi yang sedang berusaha untuk mendapatkan cahaya mata,” katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Bunga Bunga Cinta itu turut menjelaskan bahawa dia telah mencipta tanda pagar #menjejakkhadeja sebagai pembakar semangat untuk dia dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. Biarpun begitu, andai diberikan rezeki seorang bayi lelaki lagi, itu tetap satu rahmat besar buat keluarga kecilnya .

“Hashtag itu saya wujudkan sebagai tanda semangat buat diri sendiri untuk menjalani proses kehamilan. Orang kata apa yang kita cakap dan harap jika diluah selalu akan jadi doa.

“Kenapa Khadeja? Sebab saya berharap dan berdoa semoga saya dikurniakan cahaya mata perempuan.

“Semoga doa kami dimakbulkan namun kalau selepas ini dapat anak lelaki lagi, kami tetap terima dengan rasa syukur. Semua itu anugerah yang tidak ternilai.

“Cuma ada yang tanya adakah Khadeja untuk nama bayi perempuan kami nanti, itu belum pasti sebab ia nama yang terlintas dalam fikiran ketika itu.

“Biar apa pun, saya dan suami ingin melalui perjalanan ke arah menambah ahli keluarga ini dengan memberi sesuatu info bermanfaat buat pasangan lain,” katanya.

Menerusi sesi Live dalam Instagram bersama Dr. Azrai, pakar sakit puan itu memberitahu Misha berkemungkinan mempunyai peluang untuk mengandung secara semula jadi tanpa perlu menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF).

“Tak semestinya Misha perlu menjalani IVF. Misha dan saya berbincang semalam untuk mengetahui potensi telurnya untuk hamil.

“Apa yang kami bincangkan adalah lebih kepada kesedaran untuk masyarakat tahu bahawa rawatan kesuburan ini tidak semestinya perlu melalui proses IVF. Kalau telur okay, Misha boleh hamil secara semula jadi,” katanya.

Untuk rekod, Misha mendirikan rumah tangga bersama juruterbang, Firros Ezzwan Rosly pada 2 Mei 2014 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Idris Ezzwa yang kini berusia lima tahun.

Misha turut memiliki seorang anak angkat lelaki bernama Muhammad Adam Emir yang kini telah berusia 15 tahun. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI