SEBERANG PERAI – Dua pekerja kilang warga Myanmar cedera dalam satu pergaduhan dengan rakan senegara mereka yang mabuk di sebuah rumah di Flat Taman Nagasari, Perai di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa berusia 40 dan 21 tahun yang merupakan rakan serumah suspek masing-masing mengalami luka pada lengan kiri dan tapak tangan kanan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, kejadian berlaku apabila suspek secara tiba-tiba menyerang mangsa berusia 40 tahun dengan pisau.
“Seorang lagi cuba menghalang sehingga berlaku pergelutan dan menyebabkan kedua-dua mangsa cedera ringan akibat ditoreh.
“Suspek berusia 39 tahun ditahan bersama sebilah pisau kira-kira pukul 10.45 malam sejurus polis menerima laporan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen. – K! ONLINE