fbpx

Kawalan brek, stereng dengan bantuan komputer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA dioperasikan dengan transmisi automatik lapan kelajuan ini lebih mantap ketika di jalan raya.

IDENTITI Volvo S90 terdedah buat pertama kalinya pada 2 Disember 2015, manakala debut sulungnya kepada khalayak umum berlangsung pada bulan Januari 2016 di pertunjukan kenderaan North American International Auto Show, Detroit, Michigan, Amerika Syarikat.

Seawal tahun kemunculannya, S90 telah dinobatkan dengan anugerah Production Car Design of the Year. Model S90 dihasilkan untuk menggantikan S80 sebagai flagship sedan bagi barisan jenama Volvo.

Volvo, jenama dari Sweden ini sememangnya gah dalam industri automobil bahkan disifatkan terkedepan dalam aspek keselamatan.

Sejak S90 dilancarkan, beberapa varian telah diperkenalkan seperti Momentum, Inscription, Inscription Plus, R-Design dan yang terbaharu Recharge T8. Recharge T8 telah diperkenalkan di negara ini dua bulan lalu.

Penulis baru-baru ini telah diberikan peluang oleh Volvo Car Malaysia untuk memandu uji model S90 Recharge T8 selama beberapa hari.

Varian yang telah diperkemas pada bahagian luaran dan dalaman itu turut dilengkapi pelbagai ciri keselamatan dan teknologi terkini.

Model sedan empat pintu itu dibangunkan dengan menggunakan platform SPA (Scalable Product Architecture). Sedan lima tempat duduk itu dilengkapi enjin berkembar T8 yang mampu menghasilkan maksimum 407 kuasa kuda dan tork maksimum setinggi 640Nm.

Enjin berkembar itu terdiri daripada enjin 2.0 liter turbo dan supercharge serta motor elektrik PHEV (Plug-in Hybrid Vehicles). Model ini menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan.

Walaupun mempunyai kuasa dan tork maksimum yang boleh dikira tinggi, atas dasar mengutamakan keselamatan had kelajuan maksimum ditetapkan pada 180 kilometer sejam (km/j) sahaja.

MODEL sedan ini dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan termasuk pengesan pintar yang dapat mengesan kewujudan objek di sekelilingnya.

Kombinasi enjin berkembar dan transmisi itu membolehkan S90 Recharge T8 bergerak sejauh 100 kilometer (km) dengan hanya menggunakan 2.1 liter petrol. Sekadar makluman, model itu menggunakan tangki petrol bersaiz 60 liter.

Selain daripada itu, sama seperti barisan model Volvo yang bersistem Intellisafe, ia dilengkapi Sistem Informasi Titik Buta (BLIS), City Safety, Cross Traffic Alert, Front and Rear Warning and Mitigation Support dan Lane Keeping Aid.

Sistem keselamatan Intellisafe yang disertakan fungsi City Safe dengan sistem brek automatik itu mempunyai pengesan pintar terhadap kewujudan pejalan kaki, haiwan besar, pengayuh basikal serta penunggang motosikal di sekeliling.

Terdapat juga sistem amaran perlanggaran serta kamera 360 darjah di setiap sudut luar kenderaan bagi mengawal kenderaan sewaktu memarkir di ruang sempit menerusi fungsi Park Assist serta Park Assist Pilot.

Keseronokan memandu S90 T8 ini turut dipacu rasa keterujaan kerana paparan atas papan pemuka (head up display) yang sangat informatif seperti amaran jarak kenderaan, pemberitahuan amaran papan tanda, kelajuan kenderaan dan lain-lain.

Menariknya juga, terdapat sistem ‘separa pemandu’ Auto Pilot yang mana pemandu dapat memandu dengan lebih yakin kerana ada komputer yang turut menjadi pembantu pemanduan. Bukan setakat mengawal pacuan dan brek, komputer itu akan turut mengawal stereng pemandu berdasarkan corak pemanduan kenderaan di hadapan.

KENDERAAN yang dilengkapi fungsi Auto Pilot atau Pilot Assist ini membolehkan pemandu memandu secara lebih yakin dengan bantuan komputer sebagai ‘pemandu pembantu’.

Diaktifkan dengan pemandu menekan butang Pilot Assist di sebelah kiri stereng, ia amat berguna terutamanya semasa memandu dalam kesesakan lalu lintas atau memandu di lebuh raya.

Namun, ia bukanlah bermakna pemandu boleh ‘berlepas tangan’ dalam pemanduan kerana tangan masih perlu memegang stereng. Sekiranya tangan tidak berada di stereng, isyarat amaran akan dikeluarkan dan fungsi tersebut boleh terhenti atau nyah aktif.

Ini bermakna, biarpun ada fungsi ini, ia masih memerlukan pemandu kekal fokus dalam pemanduan. Fungsi ini cuma memberi keyakinan berganda kepada pemandu di samping memastikan kereta masih dalam kawalan sekiranya terjadi sesuatu yang tidak dijangka pada pemandu atau persekitaran.

Mengenai bahagian luaran, Volvo S90 Recharge T8 ini masih mengekalkan rekaan lampu utama LED gaya Thor Hammer yang menjadi identiti model Volvo.

Pada bahagian belakang pula, lampu belakang Volvo S90 Recharge T8 juga telah dikemas kini dengan rekaan mirip varian Volvo S60 T8 R-Design.

TOMBOL gear kristal Orrefors Sweden menyerlahkan gaya kelainan pada jentera ini yang memiliki pelbagai ciri canggih.

Tayarnya pula menggunakan rim 10 jejari dengan rekaan Diamond Cut bersaiz 19 inci yang menyerlahkan imej sedan ini.

Masuk ke bahagian dalam, S90 Recharge T8 hadir dengan tempat duduk hadapan baharu bersentuhan Skandinavia pada kemasannya yang menaikkan mod premium kepada sesiapa yang masuk ke dalam ruang itu.

Penggunaan tombol gear kristal Orrefors Sweden menyerlahkan imej dalaman model itu kerana kelihatan ketara walaupun saiznya tidak besar.

Selain itu, sedan itu turut dilengkapi dengan bumbung suria panoramik, sistem Sensus Connect dengan paparan sentuh bersaiz sembilan inci, sistem audio premium Bower & Wilkins dengan 19 pembesar suara.

Sistem Sensus Connect membolehkan kawalan ciri-ciri canggih pada jentera ini ditetapkan pada satu tempat. Pemandu hanya perlu tekan pada paparan tersebut sama ada untuk aktifkan atau nyah aktif. Teknologi itu juga membolehkan pemandu melaras kerusi penumpang hadapan hanya dengan kawalan dari tempat pemandu.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Bright Silver, Crystal White Pearl, Onyx Black, Platinum Grey dan Thunder Grey. Harga jualan Volvo S90 Recharge T8 ialah RM358,888 tetapi kini ia ditawarkan pada harga RM339,315 selepas pengecualian cukai jualan (harga tanpa insurans).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI