fbpx

Jokowi arah segerakan vaksinasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai beratur untuk mendapatkan pelalian Covid-19 di sebuah pusat vaksinasi di Banda Acheh, baru-baru ini. – AFP

JAKARTA – Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengarahkan pihak berkuasa mempercepatkan program vaksinasi kepada rakyat Indonesia susulan amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jangkitan koronavirus di republik itu dijangka melonjak, lapor laman berita Perth Now kelmarin.

Dalam amarannya, WHO meminta Indonesia meningkatkan langkah sekatan susulan peningkatan kes Covid-19 tempatan.

“Kita perlu mempercepatkan program vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok yang seterusnya diharapkan dapat mengekang jangkitan Covid-19,” kata Jokowi.

Tambahnya, beliau turut mengarahkan menteri kabinet dan pegawai pentadbiran tempatan supaya mencapai sasaran sejuta penduduk divaksin pada setiap hari menjelang bulan depan.

“Setakat ini, seramai setengah juta penduduk Indonesia divaksin setiap hari,” katanya.

Indonesia merupakan negara yang mempunyai penduduk keempat paling ramai di dunia. Jokowi menyasarkan untuk memberikan pelalian koronavirus kepada lebih 181 juta daripada 270 juta rakyatnya menjelang Mac 2022.

Bagaimanapun, setakat ini, hanya 11.8 juta penduduk negara itu menerima satu dos vaksin, manakala 9.6 juta telah menerima dua dos lengkap.

Menurut jurucakap Jawatankuasa Covid-19 Kebangsaan Wiku Adisasmito, kemajuan perlahan itu disebabkan oleh bekalan vaksin global yang terhad, kemampuan terbatas sistem kesihatan kebangsaan serta keengganan penduduk untuk divaksin.

Pada Rabu lepas, jangkitan baharu di Indonesia melonjak kepada hampir 10,000 kes sehari, didorong oleh aktiviti balik kampung dan ziarah ketika cuti Hari Raya Aidilfitri serta kemunculan varian baharu terutamanya varian Delta dari India.

Menurut WHO, peningkatan drastik kadar penggunaan katil hospital di Indonesia kini menjadi kebimbangan utama organisasi dunia itu.

Keadaan itu menandakan Indonesia perlu melaksanakan langkah sekatan dan kesihatan awam yang lebih ketat termasuk perintah berkurung koronavirus berskala besar.

“Susulan peningkatan jangkitan akibat varian yang dibimbangi (varian Delta), tindakan segera perlu diambil untuk membendung situasi Covid-19 di Indonesia,” kata WHO. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI