BARU-BARU ini kecoh mengenai isu wanita perlu ‘buat bodoh-bodoh’ sekiranya mahu cepat bertemu jodoh atau tidak ditinggalkan oleh pasangan.
Walaupun ramai yang tersentap dengan kenyataan itu, ramai juga yang bersetuju tidak kiralah golongan lelaki atau perempuan. Tidak kurang juga yang mengingatkan bahawa sememangnya sudah tertulis lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita.
Persoalannya, adakah disebabkan itu wanita perlu memainkan karakter-karakter tertentu untuk mendapat jodoh atau bagi memastikan dirinya tidak ditinggalkan pasangan? Adakah wanita perlu tampak lemah supaya tidak dominan dalam hubungan kerana itu adalah ‘tugas’ lelaki?
Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender, Universiti Sains Malaysia, Prof. Noraida Endut berkata, perbezaan asas antara lelaki dan wanita dari segi biologi dan fisiologi itu tidak bermaksud kita boleh menidakkan satu jantina itu untuk menikmati aspek kehidupan secara saksama.
“Layanan dan pandangan yang berbeza antara lelaki dan wanita ini adalah hasil daripada konstruksi atau interpretasi sosial di mana masyarakat telah memberi tugas kepada wanita dan lelaki itu berasaskan perbezaan fizikal mereka.
“Contoh paling ketara, wanita boleh melahirkan anak. Jadi, masyarakat telah meletakkan hampir semua tugas membesarkan anak kepada wanita, termasuk memasak dan sebagainya. Sedangkan perkara itu boleh dibuat juga oleh lelaki,” katanya dalam satu wawancara baru-baru ini.
Jelasnya, dalam perhubungan atau perkahwinan itu, apa yang wanita dan lelaki mahukan adalah perkara yang sama. Iaitu rasa dihormati, bahagia dan dijaga.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad ketika dihubungi pula berkata, dalam Islam, wanita dan lelaki itu ada banyak persamaan dari segi kemanusiaan, menuntut ilmu dan undang-undang. Yang berbeza cuma fitrah.
“Tidak ada pun sekatan-sekatan tertentu supaya lelaki ini perlu lebih daripada perempuan. Dalam al-Quran mengatakan lelaki adalah pemimpin pada wanita, untuk hal-hal memberi nafkah. Itu yang lebihnya lelaki daripada perempuan.
“Suami isteri ini disebutkan dalam hadis adalah ‘rakan kongsi’ dalam rumah tangga. Jadi, kenyataan seolah-olah berkata satu pihak kena menang, satu kena ikut itu, tidak tepat,” katanya.
Sehubungan itu katanya, Islam ada menyebut bahawa perlu setara jika mahu mencari pasangan. Tetapi, paling ditekankan ialah pilihlah pasangan yang mempunyai elemen keagamaan kerana tidak kira tinggi mana kerjaya dan pendidikannya, pasti sifat menghormati sesama pasangan itu ada.
Kesimpulannya, sifat ego perlu diturunkan kerana ia mempengaruhi wujudnya perasaan ingin mendominasi.
Buat wanita pula, jadilah diri sendiri dan berusaha menjadi versi terbaik diri kita. Sekiranya sudah berjaya, kita tetap perlu terbuka menerima kritikan ataupun teguran serta boleh menyesuaikan diri dengan situasi.
Paling penting, hormatilah semua orang di sekeliling kita kerana itu yang akan membuatkan kehidupan seimbang. -K! ONLINE