fbpx

Croatia hidupkan peluang ke pusingan kalah mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYERANG Croatia, Ivan Perisic (tiga dari kiri) merembat masuk gol pertama Croatia ketika seri 1-1 dengan Republik Czech pada saingan Kumpulan D, Euro 2020 di Stadium Hampden Park, Glasgow sebentar tadi. -AFP

GLASGOW – Saingan Kumpulan D, Euro 2020 kembali terbuka selepas perlawanan antara Croatia dan Republik Czech di Stadium Hampden Park sebentar tadi berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Croatia yang juga finalis Piala Dunia 2018 turut menghidupkan peluang untuk melangkah ke pusingan 16 pasukan terbaik apabila mengutip mata pertama selepas tewas kepada England pada aksi terdahulu.

Pada pertemuan sebentar tadi, kedua-dua pasukan menampilkan aksi yang seimbang meskipun Republik Czech dilihat bermula garang dengan melancarkan serangan awal ke arah pintu gol Croatia.

Bagaimanapun, tuah memihak kepada Republik Czech apabila mereka terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Patrik Schick pada minit ke-37 selepas dia dikasari pemain pertahanan, Dejan Lovren.

Seminit berselang, Croatia dihidangkan peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan menerusi penyerang, Ante Rebic, namun percubaannya tersasar meskipun tidak dicabar.

Sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, skuad kendalian Zlatko Dalic tidak menunggu lama apabila Ivan Perisic meledak gol penyamaan pada minit ke-47 selepas melakukan larian serta melepasi kawalan pertahanan lawan.

Tersentak dengan gol tersebut, Republik Czech kembali meningkatkan tempo permainan dan hampir memperoleh gol kedua menerusi Tomas Soucek pada minit ke-52, namun percubaan bintang West Ham United itu sekadar melewati tiang gol.

Permainan bertambah menarik pada tempoh 10 minit terakhir apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan serta melakukan percubaan ke arah pintu gol masing-masing.

Ketika aksi berbaki dua minit, pemain gantian, Bruno Petkovic hampir menjaringkan gol kemenangan buat Croatia, namun percubaannya dari dalam kotak penalti dihalang Tomas Kalas dan kedudukan 1-1 kekal hingga tamat permainan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI