COPENHAGEN – Jurulatih Belgium, Roberto Martinez mengakui prestasi buruk pasukannya pada aksi separuh masa pertama berdepan Denmark membuatkan mereka cemas sebelum meraih kemenangan tipis 2-1 di Stadium Parken, Copenhagen awal pagi semalam.
Pada saingan tersebut, Denmark yang beraksi tanpa bintang tengah berpengaruh, Christian Eriksen berjaya menampilkan aksi memberangsangkan apabila mengawal perlawanan pada separuh masa pertama dengan baik.
Belgium dilihat bergelut sejurus penyerang Denmark, Yusuff Poulsen meledak gol pembukaan selepas 99 saat aksi bermula.
Bagaimanapun, kemasukan Kevin De Bruyne sebagai pemain gantian dalam babak kedua mengubah rentak skuad kendalian Martinez itu apabila umpanan cantiknya membantu Thorgan Hazard meledak gol pada minit ke-54.
Penampilan pertama De Bruyne selepas mengalami retak tulang hidung dan soket mata ketika Manchester City tewas kepada Chelsea dalam final Liga Juara-Juara lalu ternyata memukau apabila dia menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-70.
“Penyokong yang hadir pada perlawanan ini ternyata mencipta suasana luar biasa terutama ketika Denmark berjaya meraih gol pembukaan di awal permainan. Ketika itu kami benar-benar terkejut.
“Kami memerlukan 20 minit untuk kembali kepada permainan sebenar dan cuba menghentikan asakan pasukan tuan rumah. Separuh masa pertama bagi saya sangat mencabar.
“Pada separuh masa kedua, kami bangkit menunjukkan watak sebenar dan bermain dengan taktikal yang lebih baik. Ini adalah kemenangan yang terbaik buat kami.
“Pujian harus diberikan kepada De Bruyne. Kemasukannya telah mengubah rentak permainan pasukan kami,” kata Martinez. – AGENSI