fbpx

Bagaikan ‘pekan hantu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
'SYURGA' beli-belah di Arked Niaga, Padang Besar, Perlis kini bertukar suram dan lengang. – SHAHIR NOORDIN

PADANG BESAR – Setiap kali tiba hujung minggu atau cuti umum, premis-premis perniagaan di Padang Besar terutama­nya di Arked Niaga pasti meriah dengan kehadiran ramai pengunjung dari serata negeri.

Tawaran pelbagai jenis produk pada harga murah seperti pa­kaian, beg, peralatan dapur dan barangan bilik tidur dari Thailand menjadikan pekan kecil ini dianggap seperti ‘syurga’ beli-belah bagi golongan wanita khususnya.

Bagaimanapun, tinjauan Kosmo!­ di kawasan yang bersempadan dengan negara jiran itu ­baru-baru ini mendapati, suasana di pekan kecil tersebut kini bagaikan ‘pekan hantu’ yang suram tanpa kehadiran pengunjung.

Tiada lagi kedengaran suara-suara peniaga yang memanggil dan memujuk pengunjung supaya berbelanja di gerai mereka.

Situasi itu berlaku apabila lebih 100 premis di Arked Niaga dan 100 buah lagi kedai yang terletak berhampiran terpaksa ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh sejak 1 Jun lalu.

Keadaan sama turut dirasai di sebuah lagi pekan kecil yang bersempadan dengan Thailand iaitu di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Di Bukit Kayu Hitam, satu-satunya kompleks beli-belah popular ialah Darul Qiyyam Mall. Namun, tinjauan mendapati, kurang daripada tiga buah kedai yang beroperasi, manakala lebih 30 premis lagi terpaksa di­tutup kerana bukan dalam kategori perkhid­matan perlu.

Menurut peniaga pelbagai barangan Thailand di Padang Besar, Zaharah Salleh, 63, pandemik Covid-19 memberi kesan yang sangat buruk terhadap perniagaannya dan peniaga-peniaga lain di Padang Besar.

“Dahulu sangat seronok berniaga, tak pernah lagi jadi macam ini sejak saya mula membuka kedai di sini kira-kira 30 tahun lalu semasa berniaga di bawah khemah. Ketika itu, ramai pelancong datang termasuk dari luar negara.

“Sekarang kita boleh lihat sendiri, betapa sunyinya Padang Besar,” katanya.

Zaharah berkata, perniagaan mulai suram sejak PKP pertama dilaksanakan pada Mac tahun lalu, namun keadaannya bertambah teruk berikutan larangan rentas negeri seterusnya pelaksanaan PKP Penuh kali ini.

Ujarnya, kesemua peniaga warga Thailand juga telah pulang ke negara asal mereka berikutan keputusan kerajaan menutup pintu sempadan negara dan kini hanya tinggal peniaga tempatan untuk meneruskan perniagaan.

“Saya pernah memperoleh jualan kira-kira RM3,000 sehari kira-kira 10 tahun lalu, tetapi kini pendapatannya terputus terus kerana tidak dapat berniaga.

“Saya terpaksa membuang bertan-tan produk makanan Thailand kerana sudah tamat tempoh. Ada pakaian yang tidak terjual terpaksa dibuang kerana rosak digigit tikus,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga di Padang Besar, Juliana Arshad, 43, berkata, dia kini terpaksa me­nyara hidup dengan menjual ikan di Kampung Kolam di sini.

“Saya begitu sedih melihat suasana Padang Besar yang se­perti padang jarak padang tekukur. Pekan ini hanya boleh ‘hidup’ semula jika aktiviti ren­tas negeri dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, peniaga produk makanan Thailand dan insurans kenderaan di Bukit Kayu Hitam, Faridah Abdullah, 55, berkata, setakat ini hanya dia dan beberapa lagi premis insurans yang mampu­ bertahan di Darul Qiyam Mall.

“Lebih 30 lagi peniaga sudah menutup kedai mereka sejak ­kira-kira setahun lalu selepas pintu­ sempadan ditutup,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga di Darul Qiyam Mall, Ahmad Abas, 70, pula berharap kerajaan dapat merancang sesuatu untuk me­rancakkan kembali bisnes di situ sebaik sahaja pintu sempadan negara dibuka serta rentas negeri dibenarkan.

 

Peniaga perlu masa enam bulan untuk bangkit semula

ALOR SETAR – Peniaga di Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk bangkit semula selepas terpaksa menutup perniagaan mereka sejak awal bulan ini.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal­ Abidin berkata, tempoh masa itu juga bergantung kepada Pelan Pemulihan Negara.

Menurutnya, jika pelan itu dapat dilaksanakan mengikut perancangan, aktiviti perniagaan akan ‘hidup’ semula selepas pembukaan penuh semua sektor termasuk sosial bermula November depan.

“Perniagaan tidak boleh kembali pulih sepenuhnya dalam tempoh singkat selepas ditutup kerana perubahan akan berlaku membabitkan pelanggan dan pasaran.

“Kerajaan perlu membantu peniaga untuk mereka bangkit semula terutama dari segi ban­tuan kewangan, kemudahan pembiayaan dalam jangka panjang serta perancangan untuk me­rancakkan ekonomi di kawasan sempadan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

PENIAGA produk Thailand, Juliana Arshad, 43, mengemas gerainya yang ditutup akibat PKP Penuh di Arked Niaga, Padang Besar baru-baru ini.

Beliau juga percaya perniagaan peniaga sudah mula terjejas sejak PKP pertama pada Mac tahun lalu apabila pintu sempadan ditutup selain arahan larangan merentas negeri dan daerah.

“Kerajaan selepas ini mungkin boleh menumpukan untuk membantu peniaga tempatan bagi menghidupkan kembali perniagaan di Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam.

“Mereka harus diberikan pe­luang untuk meneroka perniagaan baharu menerusi platform digital.

“Selain itu, kerajaan perlu menggerakkan sektor pelanco­ngan dengan menambah daya tarikan pelancong di kawasan perniagaan berkenaan,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI