BEIJING – Telinga berbentuk panjang dan runcing yang menyerupai karakter fiksyen ‘elf’ kini menjadi trend kecantikan baharu di China, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Golongan wanita dikatakan mula melakukan pembedahan plastik untuk mendapatkan bentuk telinga ‘elf’ kerana bentuk telinga panjang sebegitu menjadikan wajah tampak runcing dan lebih menarik.
“Hasilnya amat jelas dan anda boleh lihat telinga saya daripada bahagian hadapan wajah dan secara keseluruhannya, wajah saya nampak lebih bertenaga,” kata Song Yao yang melakukan pembedahan itu.
Yao membayar 10,000 yuan (RM6,415) untuk memanjangkan telinganya kerana ramai selebriti di China yang turut mempromosikan trend itu.
“Saya hanya menyedari golongan muda, kebanyakannya yang lahir selepas tahun 2,000 mencari cara untuk mendapatkan bentuk telinga seperti ‘elf’ selepas saya membantu seorang selebriti mendapatkan bentuk telinga begitu awal tahun ini,” Dr. Yu Wenlin yang merupakan seorang doktor kecantikan dari Pusat Kosmetik Perubatan Gaoshang di wilayah Guangzhou kepada akhbar South China Morning Post.
Prosedur bagi mendapatkan bentuk telinga itu termasuk menyuntik asid hyaluronik ke dalam telinga untuk menjadikan ia montok dan memasukkan satu tulang di belakang telinga bagi menjadikannya jelas kelihatan daripada pandangan hadapan.
Telinga yang menonjol dianggap sebagai simbol tuah di China.
Biarpun trend itu menjadi popular, ia turut menerima kecaman daripada pengguna media sosial dan petugas perubatan.
Pembedahan itu juga datang dengan banyak risiko seperti jangkitan pada bahagian telinga dan juga darah beku akibat suntikan asid hyaluronik itu yang boleh mengakibatkan kematian.
Seorang wanita dari Australia yang sebelum ini melakukan pembedahan memanjangkan telinganya pada 2016 berkata prosedur itu meninggalkan parut yang sangat teruk pada telinga kirinya. -Agensi