LONDON – Seorang pemilik bar di Britain kecewa apabila dia diberitahu akan didenda sebanyak £1,000 (RM5,745) jika pelanggannya bersorak, menjerit atau mengejek ketika menonton perlawanan bola sepak Euro 2020 di premisnya, lapor akhbar Daily Star semalam.
Leon Kelly yang merupakan pemilik sebuah bar di Darwen, England, didatangi pegawai penguatkuasa sebelum perlawanan England menentang Croatia minggu lepas, dan diberi amaran berkenaan larangan tersebut.
Menurutnya, dia diminta menghentikan pelanggan daripada mengejek, bersorak atau melaung kata-kata semangat ketika menonton aksi perlawanan bagi mengelakkan penyebaran wabak Covid-19.
“Saya melihat ke arah mereka dan terkejut.
“Bagaimana saya hendak melakukannya? Adakah saya perlu meminta pemain bola sepak di kaca televisyen supaya berhenti seketika sebelum menjaringkan gol supaya saya dapat memberi amaran kepada pelanggan agar berdiam diri?” soalnya.
Tambah Kelly, dia memberitahu pegawai-pegawai tersebut bahawa dia tidak berupaya untuk menghentikan pelanggan daripada bersorak jika pasukan England menjaringkan gol.
“Saya berkata kepada mereka, dendalah saya sekarang,” ujarnya.
Kelly sebelum ini mendapat kebenaran untuk membuka sebuah khemah besar yang boleh memuatkan seramai 96 orang di hadapan bar miliknya.
Turut disediakan adalah dua skrin besar yang boleh menayangkan perlawanan Euro 2020 untuk ditonton beramai-ramai.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Majlis Blackburn dan Darwen Borough untuk Alam Sekitar dan Perlindungan Awam, Gary Johnston berkata, keadaan khemah tersebut yang sebahagiannya tertutup akan meningkatkan risiko penyebaran virus korona sekiranya orang ramai ‘menyanyi dan menjerit’.
“Para pegawai kami melakukan lawatan sebelum acara perlawanan berlangsung bagi memastikan tempat tersebut adalah selamat untuk orang ramai menonton bola sepak,” katanya. – AGENSI