PASIR MAS – Polis merampas sepucuk pistol jenis Revolver dan lima butir peluru yang disorok di dalam sebuah pasu bunga selepas melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Pauh di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 9.30 malam itu, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan senjata api tersebut.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pihaknya turut menahan ibu bapa suspek yang berusia 68 dan 61 tahun untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, anggota polis telah melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan rumah suspek selepas menerima maklumat mengenai senjata api yang berada dalam simpanannya.
“Pemeriksaan lanjut telah membawa kepada penemuan sehelai kain putih dan dan sepucuk pistol dipercayai jenis Revolver berwarna perak dan pemegang hitam yang disembunyikan dalam sebuah pasu.
“Bagaimanapun, suspek menafikan pistol angin dan peluru tersebut miliknya malah tidak mengetahui mengenai kewujudan senjata api itu di situ,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Katanya, suspek yang mempunyai 17 rekod jenayah lampau berkait kes dadah, curi kenderaan dan cabul itu akan ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960. – K! ONLINE