Oleh KAIRULMIZAN YAHYA
KUANTAN – Seorang Penerbit Rancangan mengalami kerugian RM8,550 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan yang menjanjikan pulangan wang lebih 20 kali ganda dalam masa tiga jam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berusia 31 tahun itu berminat untuk membuat pelaburan dan mencari maklumat di Facebook pada awal Jun lalu.
“Mangsa telah meninggalkan nombor telefon ke tiga akaun Facebook yang mengiklankan pelaburan sebelum dia dihubungi oleh suspek melalui WhatsApp pada 5 Jun lalu.
“Suspek memperkenalkan diri sebagai broker dari syarikat Octafx dan menawarkan pelaburan wang kepada mangsa dengan beberapa pelan pelaburan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Wazir mangsa memilih Plan A iaitu modal pelaburan sebanyak RM400 dengan pulangan sebanyak RM8,600 dalam masa tiga jam atau RM16,200 dalam masa enam jam.
Katanya, mangsa kemudiannya membuat pembayaran ke akaun yang diberikan suspek sebanyak RM8,550 melalui lapan transaksi namun sehingga kini tidak menerima wang pulangan dijanjikan.
“Mangsa yang berasa tertipu kemudian tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan,” ujarnya. – K! ONLINE