fbpx

Penganut Hindu, Sikh berganding bahu dirikan masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk kampung bersama Ketua Ulama Punjab, Maulana Usman Ludhianvi pada majlis meletakkan batu asas tapak Masjid Mohammadi baru-baru ini. Turut hadir ialah Ketua Kampung Baloor, Pala Singh (baju merah, tengah). – Aran News/Supplied

NEW DELHI – Penduduk sebuah kampung di negeri Punjab, India baru-baru ini bekerjasama membina sebuah masjid untuk keluarga Islam di kawasan itu, lapor akhbar Arab News semalam.

Keharmonian dan sikap toleransi itu ditunjukkan oleh penduduk Kampung Bhaloor.

Di sebalik ketegangan agama yang semakin meningkat di India, kampung tersebut masih aman walaupun didiami penduduk berbilang agama seperti orang Hindu, Sikh dan Islam.

Kampung Bhaloor yang mempunyai 12,000 penduduk, terletak di daerah Moga, Punjab.

Lokasi itu memiliki tujuh gurdwar (kuil Sikh) dan dua kuil Hindu tetapi tiada masjid untuk 20 penduduknya yang beragama Islam.

Ketua kampung, Pala Singh berkata, sebuah masjid lama pernah wujud di kampung itu pada tahun 1947, ketika penjajah Inggeris membahagikan tanah jajahannya kepada Pakistan dan India.

Keadaan masjid itu bertambah usang selepas ramai penduduk Islam meninggalkan kampung tersebut.

“Selepas pemisahan itu, kebanyakan keluarga Muslim berangkat ke Pakistan dan masjid yang ada pun diruntuhkan.

“Masjid baharu akan dibangunkan di tanah yang sama dan kami semua bangga menjadi sebahagian daripada inisiatif ini,” kata Singh.

Hujung minggu lalu, seorang ulama tempatan meletakkan batu asas untuk Masjid Mohammadi, manakala wakil semua agama menghadiri upacara tersebut.

“Ada pihak yang menyumbangkan AS$2,800 (RM11,564) untuk pembinaan masjid dan beberapa bantuan lain ,” kata Ketua Jawatankuasa Pengelola Masjid Mohammadi, Anwar Khan.

Khan, 32, berkata, masjid baharu itu dijangka siap pada tahun depan dengan jumlah pembiayaan keseluruhan AS$17,000 (RM70,218).

“Penduduk kampung kami mempunyai hubungan yang rapat dengan masing-masing menghormati semua agama dan masjid baharu ini tidak akan dapat dilakukan tanpa sokongan moral dan kewangan oleh mereka.

“Ini adalah contoh keharmonian komuniti yang wujud di saat kita sering mendengar semua jenis berita menakutkan tentang keganasan agama,” tambahnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI