LIPIS – Sepasang suami isteri warga emas menghadapi detik mencemaskan apabila terperangkap selepas rumah mereka dinaiki air susulan hujan lebat lebih tiga jam di Kampung Kuala Lanar di sini malam semalam.
Kejadian banjir kilat kira-kira pukul 11 malam itu berlaku selepas hujan lebat berterusan selama kira-kira tiga jam.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, pihak bomba menerima panggilan daripada warga emas berkenaan kira-kira pukul 11.30 malam semalam.
“Kita dimaklumkan oleh warga emas berkenaan mengenai air Sungai Lanar yang melimpah ke kediaman mereka serta meminta bantuan kecemasan untuk keluar daripada tempat ini.
“Pasukan Bomba dan Penyelamat Lipis terus menjalankan operasi menyelamat dan pemindahan dengan menggunakan sebuah bot gentian kaca bersama seorang pegawai dan tujuh anggota di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut Shahrul Nizam, anggota bomba mengambil masa setengah jam untuk memindahkan mangsa keluar dan kemudiannya pasangan warga emas itu dihantar ke rumah anaknya di Tanjung Lipis. – K! ONLINE