CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan semua penyedia perkhidmatan yang berada di menara komunikasi di Menara Ladang Sibol B, Kota Tinggi, Johor melaksanakan kerja-kerja baik pulih dengan kadar segera.
MCMC berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.04 malam melibatkan sebuah menara komunikasi milik pihak Maxis yang dikongsi bersama dengan Celcom.
“Kejadian kebakaran tersebut telah memusnahkan peralatan, bahagian kabin dan bekalan elektrik di menara berkenaan.
“Bagaimanapun, punca kebakaran di menara komunikasi berkenaan belum diketahui dan sedang dalam siasatan, ” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
MCMC berkata, berikutan daripada insiden tersebut, perkhidmatan terjejas serta gangguan liputan dijangka berlarutan untuk tempoh beberapa hari akan datang.
“Sebagai langkah sementara, Mobile Communications Vehicle dan Base Transceiver Station akan digerakkan ke lokasi kejadian untuk memberikan perkhidmatan sehingga kerja-kerja baik pulih siap yang sudah dimulakan sepenuhnya,” katanya.
Jelas MCMC, dijangkakan rangkaian komunikasi yang terjejas akan pulih sepenuhnya selewat-lewatnya pada Selasa depan. -K! ONLINE