fbpx

Margasatwa, masih estetik tapi tak syok sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARGASATWA

MARGASATWA cukup teguh sebagai sebuah band yang mengusung muzik Nusantara dan bait puisi menjadi lirik. Selepas lima tahun, kini mereka cuba memecah tembok skeptikal apabila buat pertama kalinya menghasilkan sebuah karya ringan menerusi lagu Yang Asli. Harapannya satu, mahu muzik Margasatwa terbang tinggi dan diterima khalayak secara meluas.

Pertama kali mendengar muziknya, diakui mereka agak berbeza dan sedikit terasing daripada muzik yang membanjiri pasaran semasa. Tidak sahaja lirik puisi yang ‘dalam’ maksudnya, aroma Nusantara dan pemilihan fesyen yang sarat pengaruh era 1970-an dan 1980-an, menjadikan Margasatwa cukup unik.

Setiap personal Margasatwa, Kimal di posisi vokalis, Shadiq (bass), Fadhil (gitar) dan Sammy (gitar) memilih untuk berambut panjang, manakala Syahir pemain dramnya berambut afro digabung dengan fesyen-fesyen unik seperti berseluar ‘bell-bottom’ membuatkan pesona mereka mudah menarik perhatian.

Mungkin disebabkan keunikan tersebut Margasatwa terpilih untuk bernaung bawah label Luncai Emas Sdn. Bhd milik maestro muzik Malaysia, Datuk M. Nasir sejak 2017.

IMEJ sarat pengaruh fesyen zaman 1970-an dan 1980-an menjadi pilihan Margasatwa bukan sahaja disebabkan keunikan imej untuk mudah dikenali, bahkan mereka sendiri banyak mendapat inspirasi daripada rentak muzik era tersebut.

Sungguh, memang bukan calang-calang band atau penyanyi yang boleh berada bawah payung Luncai Emas jika tidak memiliki sebarang magis.

Bersyukur dengan rezeki tersebut, Kimal bagaimanapun berkata, bernaung bawah label Luncai Emas bukanlah tiket untuk Margasatwa mendapat laluan pintas. Sebaliknya, disebabkan muzik yang dibawakan agak bercanggah dengan pasaran muzik semasa, mereka harus bekerja keras.

“Tiada laluan pintas untuk berjaya tidak kiralah siapa di belakang kami.

“Pada akhirnya kejayaan sesebuah band diukur menerusi sejauh mana penerimaan sesebuah lagu. Sebagai penulis lirik dan pencipta lagu, diakui lagu-lagu kami berasaskan puisi cukup berbeza dan sukar diterima pendengar yang mahukan karya ringan.

“Namun, saya percaya sebagai karyawan muzik kita perlu menghidangkan sesuatu yang berbeza untuk industri muzik berkembang.

“Contohnya, kita sudah terbiasa dengan hidangan nasi lemak, pasti sukar terima hidangan dari negara lain, tetapi kalau setiap hari menonton promosi makanan Korea misalnya, lama-lama kita pasti ingin mencuba,” ujar Kimal memberi metafora muzik Margasatwa.

IMPIAN terbesar Margasatwa ialah mahu menjadi sebuah band legenda seperti Spider, Wings dan Search.

Begitu jugalah dengan muzik Margasatwa yang mengharapkan ruang dan peluang dalam industri muzik tempatan.

Sebagai sebuah band, Margasatwa mempunyai impian yang cukup besar. Selain merangkul anugerah, mereka mengimpikan status sebagai sebuah band legenda.

“Impian kami cukup besar, kalau boleh mahu mencapai status band legenda seperti mana Spider, Wings dan Search. Kami mahu menjadi pengaruh muzik Melayu kepada generasi seterusnya. Tidak perlu hadkan impian walaupun kami bermula secara ‘underground’.

“Muzik secara asasnya untuk dikongsi tidak kisah sama ada bermain dalam panggung ‘underground’ atau ‘mainstream’. Kami hanya mahukan lebih ramai orang mendengar dan menerima muzik Margasatwa,” kongsi Kimal.

Menyedari muzik dengan lirik yang berat agak sukar diterima pendengar tempatan, Margasatwa yang telah meluncurkan album perdana dengan judul sama pada 2019 cuba tampil dengan karya lebih ringan menerusi single terbaharu berjudul Yang Asli.

VIDEO muzik single Yang Asli dibikin hasil kemenangan Margasatwa dalam pertandingan Levi’s Music Project yang melayakkan mereka mendapat geran bernilai RM20,000.

Yang Asli

Menurut Kimal atau nama sebenarnya Mohd. Akmal Hakim Mokhtar, 29, single terdahulu seperti Ego dan Asmara Botol Kaca ditulis berdasarkan pengalaman peribadinya.

Berbeza dengan single Yang Asli, lagu tersebut ditulis berdasarkan isu semasa berhubung keyakinan diri yang boleh dikaitkan dengan khalayak pelbagai peringkat usia.

“Bagi saya, lagu Yang Asli boleh dikaitkan dengan semua orang. Situasi pada hari ini, media sosial memain peranan besar dalam pandangan terhadap diri sendiri. Banyak kes kurang keyakinan diri dan paranoid gara-gara kita mungkin sedikit berbeza atau ada kekurangan diri.

“Ditambah dalam keadaan pandemik Covid-19, semua orang tertekan dan ada yang kemurungan, jadi kami mahu tampil dengan sebuah lagu yang positif. Kami mahu orang yang mendengarkan lagu Yang Asli berasa diri mereka istimewa,” kata Kimal.

Meskipun perubahan dalam Yang Asli dibimbangi memberi kesan kepada peminat setia Margasatwa, mereka kini mampu tersenyum. Bukan sahaja menerima maklum balas positif, bahkan Margasatwa juga beroleh peminat baharu.

“Peminat yang sudah biasa dengan muzik Margasatwa mengatakan kami telah naik ke tahap seterusnya iaitu lebih memahami selera pendengar secara meluas. Diakui sebelum ini lagu-lagu kami mempunyai sasaran tersendiri, lingkungan lebih kecil iaitu buat peminat puisi dan seni.

“Peminat tegar kami mengatakan lagu Yang Asli tidak puitis dan liriknya tidak ‘dalam’ seperti karya terdahulu. Namun, mereka faham untuk pergi ke pasaran yang lebih besar kami harus melakukan perubahan, tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan identiti dan estetik Margasatwa,” luah Kimal.

Sambung Kimal, selepas lima tahun bersama Margasatwa, dia akhirnya sedar andai mahu berjaya sebagai pemuzik, karya yang dihasilkan haruslah mesra pendengar bukannya syok sendiri.

“Sebenarnya lagu Yang Asli ialah lirik paling ringkas pernah saya cipta. Memang sengaja ditulis ringkas supaya orang mudah hadam maksudnya. Percubaan itu nampaknya berjaya dan saya tidak kisah pada masa depan untuk Margasatwa bertukar haluan, asalkan estetiknya masih sama.

“Kami mahu menjadikan muzik sebagai karier selama yang mungkin. Andai mahu terus hidup dan menjana pendapatan dalam bidang ini, kami harus faham selera pendengar dan satukan dengan muzik kami,” bicara Kimal lagi.

MARGASATWA kini dalam pembikinan album kedua. Meskipun terdapat banyak kekangan ekoran PKP, mereka tetap meneruskan sesi rakaman di rumah masing-masing.

Imej

Menyentuh tentang imej Margasatwa terutama dalam video muzik single Yang Asli, ramai menyifatkan mereka begitu berani menentang arus. Fesyen 1970-an dan 1980-an yang ditampilkan dalam muzik video tersebut cukup menarik perhatian.

Kata Kimal, mereka sengaja bereksperimen, sementelah video muzik tersebut dibikin hasil kemenangan dalam pertandingan Levi’s Music Project pada Disember 2020 yang melayakkan mereka mendapat geran bernilai RM20,000 bagi penggambaran video muzik lagu terbaharu.sss

“Lagu Yang Asli cukup ringkas dan rancak, begitu juga dengan video muziknya. Kami mahu penonton gembira dan ketawa semasa melihat video muzik tersebut. Soal pakaian, kami memang memakai fesyen sedemikian setiap kali naik ke atas pentas.

“Tujuannya hanya satu iaitu mahu orang kenal Margasatwa. Jadi, setiap kali kami mengadakan persembahan pentas dari jauh orang sudah mengenali kami daripada pemakaian dan rambut yang panjang (ketawa),” ujar Kimal mengenai video muzik yang telah dilancarkan di YouTube sejak 20 Mei lalu.

Biarpun terlihat sedikit berbeza, namun setakat hari ini Margasatwa tidak pernah menerima komen negatif daripada peminat mahupun warga industri seni.

“Kebetulan kesemua anggota band memang suka berambut panjang, jadi kami setuju untuk mengekalkannya. Saya sendiri sudah berambut panjang sejak zaman universiti ketika belajar di Jepun,” kata Kimal.

Selain mempromosikan single Yang Asli secara digital, Margasatwa juga sedang sibuk dengan pembikinan album kedua.

KIMAL (tengah) selaku vokalis Margasatwa,

Sedar akan cabaran dan kekangan yang terpaksa dihadapi ekoran pandemik yang melanda, pekerjaan harus diteruskan secara profesional.

“Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak perancangan tergendala. Namun, perancangan mengeluarkan album kedua tetap perlu diteruskan. Saya akui agak sukar untuk berkomunikasi, namun seperti mana orang lain kami juga terpaksa bekerja dari rumah.

“Sesi rakaman dibuat di rumah masing-masing dan penerbit kami Tony Spider akan menyiapkan kerja produksi seterusnya di studio. Suka atau tidak, kita perlu mengambil langkah berbeza dan berubah mengikut keadaan untuk terus hidup. Jadi, kita gunakan bantuan teknologi digital sepenuhnya.

“Diharap ketika album kedua keluar kelak, pandemik akan reda dan Margasatwa dapat menghiburkan peminat seperti dahulu,” tutur Kimal penuh harapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI