LONDON – Pemain pertahanan England, Harry Maguire mengakui tidak sabar untuk turun beraksi menentang Scotland pada saingan Kumpulan D, Euro 2020 di Stadium Wembley awal pagi esok.
Kapten Manchester United itu dilaporkan sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami sebelum ini dan mungkin diturunkan pada pertemuan dua pasukan bermusuh sejak sekian lama tersebut.
Kata Maguire, dia berada pada tahap terbaik selain sudah menjalani latihan penuh bersama skuad Three Lions dan sedia untuk diturunkan pada perlawanan itu nanti.
“Saya dapat rasakan kecergasan semakin pulih kerana dapat mengikuti latihan penuh bersama pasukan. Secara jujur saya tidak sabar untuk kembali beraksi.
“Sudah tentu saya mahu bermain menentang Scotland kerana ia adalah perlawanan yang sangat besar. Saya juga tidak ada sebarang masalah lagi, jadi saya sedia untuk bermain,” ujarnya.
Sementara itu, dia menegaskan, setiap pemain memerlukan minit permainan bagi memastikan mereka dapat mengembalikan keyakinan selepas berehat panjang daripada aksi kompetitif.
“Apa yang penting sekarang adalah dapatkan keyakinan selepas lama berehat. Keyakinan akan datang jika anda bekerja keras dalam latihan serta perlawanan sebenar,” katanya. – AGENSI