PETALING JAYA – Kegigihan seorang bapa dan juga seorang guru subjek ekonomi yang menconteng lantai untuk tujuan mengajar pelajar sekolahnya untuk kelas online dipuji netizen dan tular di aplikasi TikTok sejak semalam.
Menerusi video TikTok yang dimuat naik oleh anak perempuannya yang bernama Aina memaparkan kegigihan bapanya menulis nota di lantai mozek bagi rujukan pelajarnya supaya pelajar lebih faham tentang subjek tersebut.
“Sebenarnya saya ada cadang kepada ayah untuk gunakan papan putih saya tetapi ayah lebih selesa tulis di lantai mozek mungkin kerana dia mahu memudahkan pelajar untuk lebih faham.
“Mungkin juga pengiraan subjek tersebut agak panjang, jadi ayah mahu pelajar nampak jelas pengiraan termasuk graf yang dilukis oleh ayah,” jelasnya di ruangan komen video tersebut.
Rata-rata pengguna aplikasi TikTok memuji kegigihan ayahnya untuk mengajar pelajar semasa kelas online dan mengambil pendekatan untuk tulis di lantai mozek agar pelajar mudah faham dan jelas akan subjek tersebut.
Menurut seorang pengguna dengan nama @ipeyjin berkata, dia memuji tindakan yang dilakukan oleh ayah perempuan itu dan mendoakan yang terbaik untuk ayahnya.
“Cikgu yang hebat akan menghasilkan anak murid yang hebat. Semoga Allah sentiasa permudahkan segala urusan cikgu sepanjang mendidik para pelajar,” katanya.
Menurut pengguna lain dengan nama @syirspoppop berkata, dia amat menghormati tindakan guru-guru yang sanggup buat apa sahaja supaya pelajar mudah faham apa yang diajar oleh guru.
“Saya sangat menghormati guru begini. Jika semua guru begini, memang saya tidak akan ponteng kelas dah. Kelas bermula pukul 7.30 pagi pun saya sanggup,” ujarnya. – K! ONLINE