GEORGE TOWN – Orang ramai yang telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera tidak perlu bimbang atau gusar sekiranya masih belum menerima tarikh janji temu.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali, kerajaan memberi jaminan mereka akan menerima tarikh janji temu tersebut apatah lagi negara sedang menerima tambahan bekalan vaksin dalam kuantiti yang besar khususnya bulan depan.
Beliau berkata, proses pemberian vaksin kepada rakyat dapat dipercepatkan antara bulan depan dan Ogos ini seperti mana yang disasarkan kerajaan.
“Orang ramai jangan bimbang dan jangan takut, asalkan sudah mendaftar dengan MySejahtera, mereka akan dapat tarikh janji temu vaksin itu.
“Sebabnya kita bukan hanya mensasarkan 80 peratus rakyat mendapatkan vaksin, malah pekerja asing pun kita akan beri vaksin,” katanya selepas meninjau operasi pusat pemberian vaksin (PPV) hasil kerjasama dengan hospital swasta di Hospital Pantai Penang, Bayan Lepas di sini.
Menurut beliau, kerajaan menyasarkan sebanyak 75 buah hospital swasta akan terlibat sebagai pusat pemberian vaksin di seluruh negara menjelang hujung bulan ini.
Setakat ini kata beliau, sebanyak 67 buah hospital swasta sudah menyatakan kesediaan untuk dijadikan pusat pemberian vaksin dengan tujuh daripadanya terletak di Pulau Pinang. – K! ONLINE