RIO DE JANEIRO – Kapten Argentina, Lionel Messi berjanji akan memastikan pasukan itu akan terus memberikan tentangan pada saingan Copa America kali ini untuk membawa pulang trofi berkenaan selepas kemarau kejuaraan antarabangsa sejak hampir tiga dekad lalu.
Argentina muncul juara Copa America kali terakhir adalah pada tahun 1993 ketika menewaskan Mexico 2-1 menerusi gol kemenangan Gabriel Batistuta pada saingan yang berlangsung di Ecuador.
Pada kempen kali ini, aksi pertama menyaksikan Argentina terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Chile selepas kelebihan jaringan Messi menerusi sepakan percuma dipadamkan oleh gol penyamaan, Eduardo Vargas.
Ketika ini, Argentina dilaporkan sedang membuat persiapan rapi untuk turun menentang Uruguay pada aksi kedua pagi esok pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Mane Garrincha, Brasilia.
“Kami sedang membuat persiapan untuk terus bersaing dan terus berusaha untuk meraih kemenangan dalam setiap perlawanan,” katanya menerusi laman sosial Instagram.
Messi juga merupakan sebahagian daripada skuad Argentina yang muncul sebagai naib juara Piala Dunia 2014 selain mereka juga merupakan finalis saingan Copa America 2015 dan 2016 tetapi gagal untuk muncul juara.
Pemain berusia 33 tahun itu sebelum ini mengakui bahawa memenangi gelaran bersama Argentina adalah impiannya yang paling besar ketika ini. – AGENSI