BEIJING – Sebuah galeri seni disokong pemerintah di Shanghai memohon maaf hari ini kerana mempromosi hasil seni yang menyenaraikan beribu-ribu wanita berdasarkan rupa paras mereka susulan kecaman di media sosial.
Galeri OCAT menyatakan, pihaknya telah menarik balik karya seni berjudul Uglier and Uglier atau ‘semakin hodoh dan semakin hodoh’ itu. Karya artis seni lelaki, Song Ta itu dikecam kerana menghina wanita.
Karya itu berupa rakaman video selama beberapa jam yang menampilkan kira-kira 5,000 gambar wanita dan dirakam di kampus sebuah universiti. Ia memaparkan senarai kedudukan wanita berdasarkan tanggapan artis seni tersebut tentang kecantikan paras rupa mereka.
Hasil seni itu yang ditayangkan di beberapa pertunjukan sejak 2013, mencetuskan kemarahan netizen selepas OCAT mempromosikannya awal bulan ini. Pengguna media sosial menyatakan bahawa karya seni itu menghina wanita dan mencabuli privasi mereka.
“Ini sudah tahun 2021, bagaimana kamu masih boleh menganggap wanita sebagai objek nafsu tanpa perasaan malu? Kata seorang pengguna laman sosial tempatan, Weibo
Karya seni itu mencatat 90 juta tontonan menjelang petang tadi.
Pada 2019, Song Ta memberitahu majalah Vice edisi China yang kini ditutup bahawa dia dan beberapa pembantunya mengasingkan imej ribuan wanita dalam folder komputer menggunakan terma seperti ‘hodoh yang boleh dimaafkan’ dan ‘hodoh yang tidak dapat dimaafkan’.
“Saya berhak memberitahu perkara yang benar,” katanya dalam satu wawancara bersama majalah itu. – AFP