GUANGDONG, CHINA – Penularan wabak Covid-19 di selatan China mengakibatkan beberapa pelabuhan utamanya sesak dan dikhuatiri akan melambatkan penghantaran kargo serta barangan ke serata lokasi di dunia, lapor CNN hari ini.
Keadaan itu dijangka menyebabkan gangguan rantaian bekalan menjelang musim jualan akhir tahun.
Situasi itu bermula bulan lepas apabila pihak berkuasa wilayah Guangdong membatalkan beberapa penerbangan, melaksanakan perintah berkurung dan menangguhkan perdagangan di sepanjang perairannya untuk mengawal kenaikan mendadak kes Covid-19.
Meskipun langkah itu berjaya menurunkan kadar jangkitan dengan operasi di pelabuhan dibuka semula, namun, kesan negatif terhadap perdagangan sudah berlaku.
Impak tersebut diburukkan lagi akibat penutupan Pelabuhan Yantian yang terletak kira-kira 80.5 kilometer ke utara Hong Kong.
Pelabuhan Yantian yang boleh mengendalikan sebanyak 36,000 kontena setiap hari telah ditutup selama hampir seminggu pada bulan lepas selepas berlaku penularan Covid-19 dalam kalangan pekerjanya.
Selepas dibuka semula, pelabuhan itu masih beroperasi dengan kapasiti rendah sehingga menyebabkan sejumlah besar kontena masih menanti untuk meninggalkan pelabuhan selain kapal-kapal turut menanti untuk berlabuh.
Kesesakan itu mengakibatkan kontena di pelabuhan-pelabuhan di Guangdong termasuk Shekou, Chiwan dan Nansha turut mengalami kelewatan.
Kesemua pelabuhan itu terletak sama ada di Shenzhen atau Guangzhou, yang merupakan pelabuhan kontena keempat dan kelima terbesar di dunia.
“Kesesakan di Pelabuhan Yantian menambahkan lagi masalah yang telah pun membelenggu rantaian bekalan global.
“Keadaan ini akan menyebabkan orang ramai tidak dapat membeli barangan kegemaran mereka ketika jualan akhir tahun nanti,” ujar Ketua Penganalisis Perkapalan Bimco, Peter Sand.
Setakat semalam, lebih 50 kapal kontena masih menanti untuk berlabuh di Delta Sungai Mutiara Luar Guangdong, yang merupakan kesesakan terbesar sejak 2019.
Pelabuhan itu juga gagal untuk mengendalikan sejumlah 357,000 kontena sejak Mei lepas, melebihi jumlah keseluruhan kapal kontena yang terjejas dalam insiden penutupan Terusan Suez pada Mac lepas. – AGENSI