BAKu – Pengurus pasukan Wales, Rob Page memuji penyerang sensasinya, Gareth Bale selepas bangkit membantu pasukan itu meraih kemenangan 2-0 ke atas Turki biarpun gagal menyempurnakan sepakan penalti awal pagi semalam.
Pada saingan tersebut, Bale menjadi tonggak penting apabila dua umpanannya berjaya menjelmakan jaringan buat Wales untuk mereka melakar kemenangan.
Wales meledak gol pembukaan menerusi hantaran cantik Bale kepada Aaron Ramsey pada minit ke-42.
Wales berpeluang untuk menggandakan kelebihan selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila Bale dijatuhkan pada minit ke-61, namun rembatan yang dilakukan Bale jauh tersasar melepasi palang gol.
Kekecewaan Bale terubat apabila umpanan cantik pemain Real Madrid tersebut pada masa kecederaan akhirnya membolehkan Wales meraih gol kedua apabila Conor Roberts bijak menyudahkan peluang tersebut.
“Sudah pasti Bale kecewa kerana gagal untuk melakukan dengan baik menerusi sepakan penalti tersebut. Tetapi, Bale meneruskan permainan terbaik dan sekali lagi memberi umpanan cantik untuk gol kedua Wales.
“Pujian harus diberikan kepada Bale kerana kesungguhannya dan mempamerkan aksi yang cukup sempurna pada hari ini. Secara keseluruhan, mereka mempamerkan permainan yang cukup menarik dan memastikan kemenangan menjadi milik kami hari ini,” katanya.
Kemenangan itu meletakkan Wales di tangga kedua Kumpulan A di belakang Itali dan kelihatan berpeluang cerah untuk ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Seterusnya, Wales akan bertemu Itali di Rom, manakala Turki pula akan ke Baku bagi perlawanan menentang Switzerland, Isnin depan. – AGENSI