fbpx

K2

Acara larian ‘maut’ bongkar ketirisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA keselamatan mengangkut mayat mereka yang terkorban dalam tragedi ultramaraton di Gansu bulan lalu.

PADA pagi 22 Mei lalu, Zhang Xiaoto bersama 171 peserta lain termasuk para pelari profesional China telah berkumpul di wilayah Gansu di barat laut negara itu bagi menyertai acara larian jarak jauh berhalangan atau ultramaraton.

Dia dan para peserta dilepaskan oleh penganjur seawal pukul 9 pagi di Hutan Batu Sungai Kuning (Yellow River Stone Forest) di bandar Baiyin, Gansu.

Rata-rata peserta yang mengambil bahagian pada hari itu termasuk Xiaoto hanya memilih mengenakan seluar pendek dan baju-T kerana merasakan ia lebih selesa dipakai untuk berlari sejauh 100 kilometer (km) merentasi kawasan pergunungan batu.

Selepas lebih sejam berlalu, Xiaoto yang sedang berlari di lereng gunung pada ketinggian 2,230 meter dari aras laut itu mula melihat awan tebal di atas kepalanya sebelum disusuli angin yang cukup kencang.

Tidak lama kemudian, hujan ais turun dengan lebatnya membasahi bumi sehingga menyebabkan suhu di kawasan altitud tinggi itu turun mendadak dari 15 kepada 4 darjah Celsius.

Situasi kesejukan itu menyebabkan pelari veteran itu mengalami hipotermia yang membawa kepada rasa kebas di seluruh badan serta kesukaran bernafas secara normal. Hipotermia merujuk kepada penurunan suhu badan sehingga mengganggu fungsi sistem dalaman tubuh yang boleh menyebabkan kegagalan jantung, sistem pernafasan dan membawa maut.

“Anggota badan terasa membeku. Saya sempat ‘membungkus’ badan dengan selimut keselamatan yang kebetulan saya bawa bersama.

“Kemudian saya tidak sedarkan diri di atas gunung selama hampir dua jam. Rupa-rupanya sewaktu saya tidak sedarkan diri itu, seorang penggembala kambing di pergunungan tersebut telah menyelamatkan saya dengan membawa saya masuk ke sebuah gua berhampiran.

“Dia telah menyalakan api serta menyelimuti saya dengan selimut tebal dan berbulu. Selepas sejam, saya kembali sedarkan diri,” kongsinya yang terselamat dalam tragedi itu menerusi aplikasi sosial tempatan, Weibo.

Xiaoto bersama 150 peserta lain boleh dianggap bernasib baik kerana terselamat daripada maut dalam tragedi sukan yang dianggap paling buruk dalam sejarah China apabila meragut 21 nyawa termasuk atlet elit negara itu.

Salah seorang pelari elit maraton yang maut ialah Liang Jing atau digelar sebagai Jeneral Liang dalam kalangan peminat larian jarak jauh.

Pelari berusia 31 tahun itu pernah memenangi banyak pertandingan jarak jauh termasuk Ultra Gobi sejauh 400km di Gurun Gobi pada tahun 2012.

Menurut laporan media tempatan, operasi mencari dan menyelamat peserta larian ultramaraton itu melibatkan 1,200 anggota keselamatan.

Selama lebih 24 jam diperlukan anggota-anggota keselamatan bagi menyelamatkan mangsa kesejukan dan mengesan yang maut memandangkan struktur laluan yang curam serta cuaca buruk.

Kejadian itu telah mencetuskan rasa marah orang ramai dalam media sosial terhadap pemerintah Baiyin atas kegagalan merencanakan acara dengan baik terutamanya berkaitan aspek keselamatan.

Sebilangan besar peserta terselamat dan anggota keluarga mangsa yang meninggal dunia telah mengkritik tindak balas menyelamat yang sangat perlahan oleh pihak berkuasa tempatan sehingga membawa jumlah korban yang ramai.

BEBERAPA peserta ultramaraton kelihatan berlari di kawasan pergunungan di Baiyin, China sebelum bencana angin kencang dan hujan ais melanda pada bulan lalu.

Acara itu bukanlah anjuran pihak swasta atau persendirian sebaliknya pemerintah tempatan sendiri iaitu Jabatan Sukan Baiyin bersama Jawatankuasa Parti Komunis Jingtai.

Salah seorang mangsa terselamat yang enggan dikenali berkata, pihak penganjur tidak menyediakan sebarang makanan, minuman atau ubat-ubatan sepanjang acara berlangsung.

“Kawasan larian juga sangat curam dan mencabar untuk para peserta,” ujarnya.

Ultramaraton Gansu menawarkan hadiah wang tunai 15,000 yuan (RM9,646) sementara mereka yang berjaya menamatkan larian akan membawa pulang hadiah sagu hati 1,600 yuan (RM1,029).

Sepanjang sedekad lalu, ratusan juta penduduk China telah menyertai acara larian jarak jauh dan berhalangan. Dianggarkan sebanyak 3,000 perlumbaan ultramaraton diadakan di seluruh Negara Tembok Besar itu pada setiap tahun.

Seorang wartawan yang membuat liputan ultramaraton sekitar China, Will Ford berkata, peningkatan populariti perlumbaan larian kompetetif telah menyebabkan banyak acara ultramaraton dilangsungkan.

Jelasnya, kebanyakan acara larian dianjurkan oleh pihak pemerintah di sesebuah wilayah dalam usaha mempromosikan pelancongan.

“Kebanyakan penganjur acara larian tidak mempunyai pengalaman mengendalikan perlumbaan dengan selamat merangkumi persiapan dan tanggungjawab pengawasan keselamatan.

“Malah, para penganjur ini tidak mempunyai perancangan awal sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan seperti cuaca buruk pada hari perlumbaan,” jelasnya kepada majalah Outside.

Ford turut mendedahkan, kebanyakan penganjur hanya mengutamakan hasil keuntungan diperoleh menerusi yuran penyertaan dan penajaan sehingga mengabaikan aspek keselamatan.

Dia menambah, rata-rata penganjur acara larian jarak jauh dan ekstrem memilih menawarkan hadiah wang tunai lumayan dalam usaha menarik para atlet menyertainya tetapi enggan melabur dalam perihal keselamatan peserta.

ANGGOTA penyelamat mengesan mangsa-mangsa dari pagi sehingga malam ekoran laluan yang sangat curam dan mencabar. – AFP

Dakwaan-dakwaan yang dibuat itu ternyata ada asasnya apabila minggu lalu pemerintah China telah mengenakan hukuman kepada kesemua 27 pegawai kerajaannya yang terlibat dengan penganjuran acara ultramaraton di Gansu itu.

Siasatan yang dibuat mendapati, selain daripada faktor bencana alam, pengurusan dan penganjuran yang tidak menepati standard serta operasi tidak profesional turut menjadi punca tragedi.

Media tempatan, Xinhua melaporkan bahawa pemimpin-pemimpin Komunis Jingtai telah dipecat daripada jawatan.

Datuk bandar yang juga Ketua Parti Komunis Wilayah Baiyin pula telah dikenakan tindakan disiplin, manakala yang lain diberi amaran keras serta penurunan pangkat, bahkan ada yang akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya atas kesalahan rasuah.

Sementara itu, Setiausaha Parti Komunis Jingtai yang juga individu dikenakan hukuman, Li Zuobi mencetus gempar apabila ditemui mati. Dia dipercayai mati bunuh diri dengan terjun dari apartmen rumahnya ketika proses siasatan masih berlangsung.

“Penganjur acara ini tidak mempunyai kesedaran yang kuat tentang pencegahan risiko. Sebelum perlumbaan, biro meteorologi telah menghantar isyarat berwarna biru petanda amaran bencana buruk berkaitan angin (mengikut sistem amaran bencana China) tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil penganjur. Pihak penganjur juga gagal memastikan kelengkapan berupa kalis angin dan tahan haba sebagai mandatori memandangkan ia keperluan untuk perlumbaan di altitud tinggi,” kata laporan siasatan.

Rentetan tragedi, pemerintah China telah bertindak serta-merta menangguhkan semua acara sukan berisiko tinggi yang tidak mempunyai pengawasan, peraturan serta standard keselamatan yang jelas.

Menurut kenyataan oleh Pentadbiran Umum Sukan China, acara yang telah ditangguhkan termasuk larian berhalangan, trek padang pasir, terjunan sut dan larian jarak jauh ultramaraton.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI