fbpx

7 kematian, 300 kes positif di Desa Rejang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ashari memberi penerangan kepada salah seorang penduduk di Perumahan Awam Desa Rejang berhubung pelaksanaan PKPD

KUALA LUMPUR – Sebanyak 300 kes positif dan tujuh kematian membabitkan kes Covid-19 dilaporkan di kawasan Perumahan Awam Desa Rejang dalam tempoh singkat sejak 1 Jun lalu hingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kawasan perumahan awam terbabit mempunyai 12 blok melibatkan kira-kira 12,000 penduduk.

“Setakat ini, keseluruhan kes positif adalah 300 dimana blok F dan L merekodkan jumlah tertinggi kes positif Covid-19 dan terdapat tujuh kematian dilaporkan sejak 1 Jun yang lalu.

“Pelaksanaan PKPD di kawasan ini akan bermula pada Jumaat hingga 1 Julai nanti dan seramai 250 anggota dari pelbagai agensi akan ditugaskan untuk mengawal selia kawasan terbabit,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Perumahan Awam Desa Rejang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, pihaknya turut akan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melaksanakan ujian saringan terhadap penduduk di kawasan terbabit terutamanya di Blok F dan L.

“Kita akan menjalankan ujian saringan Covid-​19 secara menyeluruh di Blok F dan L, penduduk yang didapati positif akan dihantar ke pusat kuarantin. Kita juga akan melakukan ujian saringan di blok berlainan untuk memastikan kawasan ini selamat dari wabak Covid-19.

“Saya harap penduduk di kawasan ini mematuhi Prosedur operasi standard (SOP) dan memberi kerjasama kepada pegawai kesihatan dalam menjalankan ujian saringan,” jelasnya.

Tambahnya, penduduk juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang pesanan makanan atau barangan buat sementara waktu untuk dihantar ke perumahan terbabit kerana ia berada di kawasan Zon Merah.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyediakan bantuan makanan dan akan diagihkan secara berjadual. Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada persatuan penduduk untuk disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp.

“Bagi penduduk yang mendapat temu janji suntikan vaksin Covid-19 pula, perkara itu sedang dirujuk dengan pihak Pejabat Kesihatan Daerah sama ada tarikh itu akan ditunda atau petugas kesihatan sendiri akan ke lokasi ini untuk memberi suntikan. Perkara ini akan diputuskan dalam masa terdekat,” jelasnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI