SHAH ALAM – Sebanyak 44 kilang di sekitar daerah ini dikenakan tindakan kompaun keseluruhan berjumlah RM140,000 selepas melanggar
prosedur operasi standard (SOP) sejak 1 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pengeluaran kompaun itu hasil pemeriksaan terhadap 82 kilang sepanjang pemantauan operasi perkilangan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Katanya, dari segi pecahan mendapati 14 kompaun dikeluarkan kepada pemilik kilang dengan sembilan daripadanya beroperasi tanpa surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Selain itu, tiga lagi adalah gagal mematuhi kapasiti jumlah pekerja dan dua kompaun susulan gagal menyediakan laluan keluar masuk ke premis mengikut SOP.
“Kita turut mengenakan kompaun kepada 30 pekerja termasuk pekerja sebuah premis penyimpanan barang jualan online di Bukit Jelutong, dekat sini apabila mereka didapati berkumpul dengan tiada penjarakan fizikal satu meter.
“Kompaun RM10,000 dikenakan kepada setiap majikan manakala pekerja terbabit masing-masing RM1,500,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan SOP terhadap operasi kilang di Kota Kemuning, di sini hari ini. – K!ONLINE