fbpx

Ronaldo cipta sejarah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RONALDO (kanan) meledak dua gol pada aksi menentang Hungary awal pagi semalam sekali gus muncul sebagai penjaring terbanyak di pentas Euro ketika ini. – AFP

BUDAPEST – Bintang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo berjaya melakar sejarah menjadi penjaring terbanyak pada sai­ngan Euro selepas meledak dua gol ketika menewaskan Hungary 3-0 awal pagi semalam.

Pada aksi berkenaan, Portugal terpaksa menunggu sehingga minit ke-84 sebelum berjaya membuka tirai jaringan menerusi Raphael Guerreiro sebelum Ronaldo menambah jaringan menerusi sepakan penalti tiga minit kemudian.

Gol kedua peribadi bintang Juventus itu hadir pada penghujung perlawanan apabila dia mudah menolak masuk bola menewaskan barisan pemain pertahanan dan penjaga gol Hungary.

Dua gol yang dijaringkan oleh Ronaldo itu menyaksikan dia kini merupakan penjaring terbanyak di pentas Euro dengan 11 gol memintas pencapaian Michel Platini selepas terikat dengan sembilan gol sebelum ini.

Selain itu, Ronaldo juga menjadi pemain pertama yang beraksi untuk lima aksi pusingan ter­akhir Euro selepas membuat kemunculan pertama bersama Portugal ketika negara itu menjadi tuan rumah pada 2004 kira-kira 17 tahun lalu.

Dalam pada itu, Ronaldo yang berusia 36 tahun 130 hari ketika turun beraksi malam tadi juga menjadi pemain paling tua dalam sejarah Portugal yang berjaya meledak gol.

Ia memadam rekod yang dilakukan Pepe pada aksi Piala Dunia 2018 yang menjaringkan gol pada usia 35 tahun 124 hari.

Sementara itu, jurulatih Portugal, Fernando Santos mengakui, beliau melakukan beberapa perubahan taktikal ketika menang 3-0 ke atas Hungary itu.

“Secara jujur, pada separuh masa kedua kami agak gementar kerana masa semakin suntuk. Oleh itu, saya buat beberapa pertukaran dan mengubah taktik.

“Selain itu, saya juga menolak Guerreiro sedikit ke hadapan dan meletakkan Ronaldo di sebelah kiri. Ia sangat berkesan apabila kami berjaya jaringkan tiga gol,” kata Santos.

Meskipun bermula dengan langkah kanan, namun beliau tetap memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya berwaspada dengan aksi seterusnya menentang Jerman 20 Jun ini.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI