PETALING JAYA – Pereka fesyen tersohor negara, Datuk Rizalman menimbulkan tanda tanya netizen apabila memadam hampir kesemua gambar dalam Instagram peribadinya, @rizalman71.
Daripada ribuan gambar yang pernah dimuat naik Rizalman dalam Instagramnya sebelum ini, hanya tinggal tiga perkongsian sahaja yang tidak dipadam.
Merujuk tiga hantaran yang tinggal dalam Instagram tersebut, Rizalman atau nama lengkapnya Rizalman Ibrahim hanya meninggalkan hantaran berunsurkan keagamaan, termasuk sebuah hantaran menegur kelakuan pengikutnya dalam laman sosial.
Bukan setakat itu, paparan pada bahagian bio dalam Instagramnya yang sebelum ini memaklumkan tentang makanan apa yang tidak dimakannya juga telah ditukar.
“Di sini bukan lagi panggung,” tulis Rizalman.
Berikutan tindakan Rizalman memadam hantaran dalam Instagramnya, ramai pengikut pereka fesyen tersebut tertanya-tanya punca lelaki itu berbuat demikian.
Bagaimanapun, rata-rata berpendapat bahawa pereka fesyen itu mungkin terasa hati dengan netizen apabila dia dihentam teruk baru-baru ini selepas dituduh terlalu ‘kayangan’ apabila tidak menghargai ikan salmon pemberian peminatnya.
Dalam kes tersebut, Rizalman memberitahu bahawa dia tidak pandai menjadikan ikan mahal sebagai makanannya. Dia cuba menjamu kucingnya dengan ikan salmon berkenaan, namun ditolak mentah-mentah si haiwan peliharaannya.
“Saya dah pesan dah jangan duk bagi benda-benda basah ni. Tak payah.
“Maaflah cik kak oi, walaupun saya memiliki beberapa buah istana dalam Malaysia tapi tidak makan ikan salmon. Tak reti nak makan. Ikan curut (sardin) cheq (saya) tahu. Tak apalah, mungkin Faizul dan Umar suka kot,” katanya.
Ekoran tindakannya sedemikian, ramai melahirkan rasa kurang senang terhadapnya dan mula ingin memboikot produk-produk keluaran pereka fesyen tersebut. -K! ONLINE