fbpx

Proton sasar tembusi pasaran Thailand, Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pusat jualan di Pakistan yang sibuk dengan kunjungan pengunjung.

PETALING JAYA – Proton Hol­dings Bhd. (Proton) merancang untuk membuat kemunculan semula di dua pasaran terbesar di Asia Tenggara, iaitu Thailand dan Indonesia dalam tempoh masa terdekat.

Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu berkata, dua pasaran berkenaan berpotensi meningkatkan jualan Proton, namun tahap persaingan di sana amat sengit dengan kehadiran pelbagai jenama antarabangsa yang telah melabur dalam fasiliti produksi untuk pasaran tempatan dan eksport.

“Bagi dua negara ini, kami sedang mencari rakan kongsi untuk membina rangkaian dan membangunkan model perniagaan yang berdaya maju.

“Dalam masa terdekat, matlamat kami adalah untuk kembali ke pasaran Thailand pada 2022,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam berhubung prestasi jualan eksport Proton pada Mei 2021.

Proton mencatatkan jumlah jualan tertinggi di pasaran luar negara dalam tempoh 98 bulan apabila barisan pengedar antarabangsanya berjaya menjual sebanyak 669 unit kenderaan bulan lalu, ketika dunia masih dibelenggu pandemik Covid-19.

Ia disokong permintaan baik di pasaran baharu dan lama, dengan Pakistan yang merupakan pasaran baharu muncul sebagai pasaran eksport terbaik Proton bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Brunei yang menjual kereta Proton sejak 1987 pula menduduki tempat ketiga dari segi jualan tahun ini.

Pada Mei lalu, pengimport Proton di sana, PAD Motors merekodkan jualan terbaik sejak penubuhan syarikat itu.

Mesir pula merupakan pasaran eksport kedua terbesar Proton dengan pengedar di sana, Alpha Ezz El-Arab telah menjual 350 unit kenderaan Proton tahun ini.

Selain itu, Xu berkata, selari dengan pertumbuhan jualan, pemasangan model Proton di luar negara penting bagi memastikan syarikat mampu mencapai sasaran jangka masa panjang.

Jelasnya, selepas pemasa­ngan tempatan bagi model Proton Saga di Kenya, Pakistan bakal memulakan pemasangan tempatan kenderaan Proton.

“Rakan kongsi kami di Pakis­tan, Al-Haj Automotive akan memulakan operasi pemasangan Proton Saga pada akhir Julai atau awal bulan Ogos di kilang baharu di Karachi.

“Pemasangan Proton X70 akan dijalankan pada fasa akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI