fbpx

Pemenang trofi filem Terbaik FFM31 akan dapat ganjaran dana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FESTIVAL Filem Malaysia dijadualkan berlangsung menjelang Oktober depan.

PETALING JAYA – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) merancang menawarkan ganjaran berupa dana pembikinan filem khas kepada penerima trofi Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) Oktober depan.

Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata, dana istimewa tersebut bakal menyaksikan anjakan terhadap industri sinematik tanah air dalam menggabungkan kreativiti penggiat industri terbaik daripada pelbagai kategori dalam sebuah naskah.

“FFM adalah medan meraikan kejayaan seluruh warga perfileman dan buat edisi kali ini Finas merancang menyelaraskan pembikinan sebuah filem bertaraf antarabangsa dengan menggabungkan pemenang FFM31.

“Dana berkenaan akan disalurkan kepada penerima trofi Filem Terbaik namun penerbit dicadangkan mengundang penerima trofi lain daripada kategori Pengarah, Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Terbaik sebagai pelengkap naskhah.

“Pengumuman pemberian dana khusus buat filem khas ini juga menjadi penyemarak semangat buat seluruh warga filem, terutama calon Filem Terbaik,” katanya.

Terdahulu, Finas dalam satu kenyataan mengumumkan penganjuran FFM31 yang sepatutnya dilaksanakan pada 8 April tahun lalu bakal diteruskan pada Oktober depan selepas ditunda berikutan situasi pandemik Covid-19.

Andai direalisasikan, FFM31 dijangka bakal dikendalikan dalam dua sesi berasingan iaitu segmen kategori utama disiarkan secara langsung manakala kategori bukan utama dirakamkan.

Tahun ini, FFM mempertandingkan 22 kategori utama melibatkan penyertaan filem cereka dengan kategori Filem Terbaik; Pengarah Terbaik; Pengarah Harapan; Pelakon Lelaki Terbaik; Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Kategori lain yang dipertandingkan termasuklah, Lakon Layar Terbaik; Cerita Asal Terbaik; Sinematografi Terbaik; Penyunting Terbaik; Skor Muzik Asal Terbaik dan Penataan Seni Terbaik.

Kenyataan sama turut memaklumkan penyertaan bagi filem tempatan yang menepati syarat dibuka secara rasmi selama sebulan, bermula 15 Jun hingga 12 tengah hari pada 15 Julai depan.

Tiga syarat utama penyertaan antaranya, calon mesti penghasilan filem cereka tempatan yang dikeluarkan di Malaysia dan mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem. Penyertaan haruslah membabitkan penerbitan bagi tahun 2018, 2019 dan 2020 untuk tayangan di Malaysia dalam format DCP/35 mm/format digital dengan tempoh tayangan sekurang-kurangnya 60 minit.

Butiran lanjut mengenai syarat penyertaan dan muat turun borang penyertaan FFM31 boleh didapati menerusi pautan https://www.finas.gov.my/borang-penyertaan-ffm31-2/.

Manakala untuk sebarang pertanyaan, ia boleh dikemukakan terus kepada Jawatankuasa Penyertaan dan Penjurian FFM31 atau e-mel kepada [email protected].

Sementara itu, berhubung jumlah pemberian dana filem khas itu, akui Zakaria segala-gala perincian termasuk nilai ganjaran istimewa serta kaedah masih dalam perbincangan.

“Rancangan penghasilan filem khas ini memang sesuatu yang membuatkan kita sendiri tidak sabar melihat proses penghasilan hingga ke peringkat akhir saat menemui khalayak nanti jika direalisasikan.

“Begitupun, pelan itu masih dalam peringkat awal serta memerlukan penilaian lebih mendalam membabitkan beberapa perincian termasuk jumlah dana yang bakal diperuntukkan.

“Buat masa ini, 1Finas belum membuat sebarang keputusan kerana cadangan ini masih perlu dibawa ke sekretariat FFM untuk dibentangkan pula kepada ahli lembaga pengarah nanti,” tambahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI