fbpx

Kena ‘scam’, Bell kasihankan Mubarak Majid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELL dan Mubarak Majid sudah pun membuat laporan polis berhubung kes penipuan data peribadi melibatkan mereka.

PETALING JAYA – “Biarpun sudah tanya bermacam-macam soalan, saya tetap kena kencing dengan penipu berkenaan.”

Itu luahan pelakon Bell Ngasri selepas tertipu dengan taktik aktiviti ‘scammer’ (penipuan) seorang individu yang menggunakan data peribadi dengan menggodam telefon bimbit milik kenalan yang juga pelakon senior, Mubarak Majid sehinggakan menyebabkan kerugian sebanyak RM1,000.

Tidak mahu insiden tersebut berulang dan memperdaya lebih ramai mangsa, terutama rakan-rakan dalam industri, pemilik nama sebenar Nasrizal Ngasri, 41, turut membuat satu laporan polis di Balai Polis Gombak, Selangor hari ini.

“Saya tidak fikir panjang mahu membantu Mubarak dengan memindahkan duit ke akaun diberikan penyamar itu kerana yakin dia dalam kesusahan tambah-tambah selepas berbual lama menerusi Whatsapp (WA).

“Walaupun pelik apabila ‘uncle’ meminta tambahan lagi sebaik urusan pemindahan pertama selesai, saya tak sedar tertipu hinggalah kawan-kawan dalam kumpulan WA kecoh menerima mesej sama.

“Dalam situasi sekarang macam-macam orang lakukan untuk dapat wang mudah tetapi tak sangka walaupun sudah bertanya pelbagai soalan, saya tetap kena kencing dengan penipu berkenaan.

“Saya percaya sebab kiriman mesej itu memang daripada nombor uncle, tambahan pula saya kenal dia sejak kecil malah kami baharu saja menjayakan drama bersiri bersama-sama,” katanya.

Kesal atas kejadian yang turut membabitkan nama baik pelakon yang sudah lama dikenalinya, Bell juga menyifatkan kejadian tersebu memberi pengajaran kepadanya supaya jangan terburu-buru apabila membabitkan soal wang.

Kata bintang 18 Puasa itu lagi, banyak penggodam dan pihak tidak bertanggungjawab yang sentiasa menanti peluang untuk mencuri identiti orang lain demi mendapatkan wang dengan cara mudah dan sukar dikesan.

“Selepas ini saya akan lebih berhati-hati. Saya mahu menolong tetapi rupa-rupanya semua itu cuma lakonan untuk meraih simpati. Harap kealpaan saya ini turut jadi peringatan kepada orang lain.

“Kalau terima mesej yang meragukan, jangan mudah percaya. Lebih baik kita hubungi individu berkenaan supaya dapat terus berbual dan mendengar suaranya daripada hanya berbalas mesej.

“Supaya lebih selamat, dalam situasi sekarang ini ditambah selepas ‘terkena’, mungkin saya takkan berani lagi nak menolong sesiapa. Kena perlu berhati-hari sebab benda ini boleh buat kita serik.

“Saya pun kasihan pada ‘uncle’ sebab perkara ini terjadi bukan salah dia pun. Sebelum ini kita cuma dengar kejadian membabitkan scammer dalam berita, tak sangka dalam beringat kita pula terkena,” tambah pemegang watak Barkoba itu.

Salah guna data peribadi membabitkan Mubarak berlaku semalam apabila si penipu berkenaan mengirimkan mesej meminta beberapa kenalan pelakon itu menyalurkan bantuan kewangan, kononnya dia sedang terdesak.

Mubarak yang sudah membuat dua laporan polis mendedahkan antara rakan dalam senarai nombor yang dihubungi penyamar menerusi WA, sekali gus nyaris menjadi mangsa ialah Ebby Yus dan Liza Abdullah.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI