fbpx

Kabut Serangkai Mawar versi Mafarikha bikin merinding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAFARIKHA kini muncul dengan lagu 'remake' Kabut Serangkai Mawar versi 2021.

BERASA bertuah dapat merakamkan semula lagu Kabut Serangkai Mawar, Mafarikha mengakui sebenarnya ada menyimpan hajat mengundang penyanyi legenda, Zaiton Sameon bagi sama-sama menjayakan video muzik lagu berkenaan.

Katanya, peluang diberikan Datuk M Nasir menjadi impian terindah sepanjang sedekad dalam arena seni suara yang diharap turut membuka laluan bergandingan dengan penghibur legenda terbabit.

M. NASIR

“Bagi saya Zaiton Sameon ialah penyanyi legenda yang berada dalam kelas tersendiri hingga setiap lagu nyanyiannya terus malar segar hingga ke hari ini.

“Single Menaruh Harapan menjadi antara lagu kegemaran emak saya, sekali gus dari situ saya mula mengagumi penghibur bervokal lantang itu.

“Cuma saya belum pernah berjumpa dengannya walaupun kisah hidupnya, Zaiton Ceritaku menjadi antara filem kegemaran saya.

“Jika ada rezeki saya ingin Zaiton muncul dalam muzik video lagu versi 2021 itu. Buat masa ini semua kerja penggambaran ditunda berikutan ‘lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” katanya.

Terdahulu, pemilik nama penuh Mafarikha Mohd Akhir, 28, itu menjadi satu-satunya artis wanita yang berpayung bawah syarikat rakaman milik Datuk M. Nasir, Luncai Emas.

Selaku komposer dan penulis senikata lagu malar segar berkenaan, M. Nasir melihat Mafarikha sebagai calon paling tepat untuk merakamkan semula Kabut Serangkai Mawar 2021 yang digubah semula.

Bagi mencapai kualiti lagu yang diinginkan, penerbit berkaliber, Ashraf Aasimudin dipilih khas oleh Mafarikha untuk menerbitkan lagu berkenaan.

Kata sifu muzik yang dihormati itu, Mafarikha dikurniakan vokal unik selain penghayatan luar biasa hingga mampu membawa dendangannya ke tahap lain.

“Lontaran suaranya yang lantang dan kebolehan menyampaikan emosi serta sepenuh jiwa membuktikan Mafarikha calon terbaik untuk kolaborasi ini.

“Dia berjaya menyampaikannya dengan persona tersendiri, seakan mengimbas semula momen ketika Zaiton Sameon pada 2004 yang membuatkan mereka di studio ketika itu merinding.

“Masing-masing punya keistimewaan yang sukar dijelaskan, namun biar apa pun ‘remake’ Kabut Serangkai Mawar ini sesuatu yang indah daripada Mafarikha,” kata M. Nasir.

MAFARIKHA berstatus solo selepas bercerai pada awal 2019 setelah hampir tiga tahun berumah tangga.

Bercerita tentang proses pembikinan, Mafarikha mengambil masa yang panjang untuk merakamkan semula lagu yang dianggap cabaran buat dirinya.

“Antara perkara yang paling saya bimbangkan adalah menyanyikan lagu ini secara langsung sampai habis.

“Saya ambil masa panjang untuk rakam lagu tersebut berbanding single yang pernah dinyanyikan sebelum ini untuk mendapatkan ‘notes’ dan ‘phrase’ terbaik.

“Ini antara lagu paling susah saya pernah bawa kerana apabila tempo sudah diturunkan, kita kena bertahan di ‘note’ itu lebih lama terutama pada bahagian ‘klimaks’ dan korus terakhir kerana melodi berterusan dalam nada tinggi,” kongsinya lagi.

Dari segi penghayatan pula, penyanyi yang dicungkil daripada sebuah program realiti itu mampu menghadam liriknya sepenuh jiwa kerana cukup dekat dengan pengalaman sendiri.

“Penjiwaan lagu ini pula diperoleh daripada pengalaman hidup saya yang jarang dikongsikan. Bila kita gembira, biasanya kita akan seronok, tetapi bila kita sedih memang akan faham bait liriknya.

“Saya fahamkan lirik dan buat sedikit kajian, namun secara kebetulan kisahnya lebih kurang dengan situasi yang saya sendiri pernah lalui,” katanya yang kini kembali berstatus solo.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI