fbpx

Itali pasukan pertama layak ke pusingan kalah mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain Itali berkumpul bersama meraikan kejayaan menewaskan Switzerland 3-0 pada aksi kedua peringkat Kumpulan A, Euro 2020 di Stadium Olimpico, Rom sebentar tadi. - AFP

ROM – Itali meneruskan dominasi pada kempen Euro 2020 selepas membenam Switzerland 3-0 dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Olimpico sebentar tadi.

Skuad kendalian Roberto Mancini menampilkan aksi cukup berkualiti apabila sering mengancam pintu gol Switzerland menerusi trio serangan, Ciro Immobile, Lorenzo Insigne dan Domenico Berardi.

Kapten Azzurri, Giorgio Chiellini hampir meletakkan pasukan itu berada di depan pada minit ke-19, namun jaringannya dibatalkan akibat terkena tangan sebelum dia dikeluarkan lima minit kemudian akibat cedera.

Bagaimanapun, kekecewaan mereka terubat apabila pemain tengah, Manuel Locatelli membuka tirai jaringan pada minit ke-26 selepas menolak masuk hantaran yang dilakukan Berardi.

Situasi itu menyebabkan Switzerland berada dalam keadaan tertekan dan cuba memburu gol penyamaan, namun kedudukan kekal sehingga tamat aksi separuh masa pertama.

Tujuh minit selepas separuh masa kedua bersambung, Locatelli terus menghukum kealpaan benteng pertahanan lawan apabila meledak gol kedua Itali menerusi percubaan dari luar kotak penalti.

Peluang terbaik Switzerland untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-64 menerusi pemain gantian, Steven Zuber, namun percubaannya ditepis penjaga gol, Gianluigi Donnarumma.

Ketika perlawanan berbaki seminit lagi sebelum tamat, Immobile memastikan Itali meraih gol ketiga menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti, sekali gus membawa pasukan itu mara ke pusingan kalah mati. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI