KUALA LUMPUR – Harga minyak masak di ibu negara dilaporkan terkawal dan pemantauan secara menyeluruh akan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) setiap hari.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shanthara Kumar berkata, pembeli tidak perlu bimbang harga minyak masak naik.
“Orang ramai di sekitar ibu kota, tidak perlu bimbang, setakat hari ini, harga minyak masak masih lagi terkawal.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) WPKL setiap hari akan pergi melakukan pemantauan dan jika ada pihak menaikkan harga KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan kepada pihak tersebut,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan bekalan keperluan asas bersama KPDNHEP WPKL di AEON Metro Prima, Kepong, di sini hari ini.
Sementara itu, Shanthara memberitahu, orang ramai juga disarankan untuk membeli minyak masak yang sudah disubsidi kerajaan.
“Kerajaan juga ada subsidi minyak masak bagi membantu terutamanya golongan B40 ini.
“Stok minyak masak subsidi ini juga sentiasa ada, harga juga murah, pembeli boleh membeli sebanyak 3 pek bagi setiap seorang pembeli,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan setiap pasar raya di ibu kota untuk mengenakan penggunaan sarung tangan plastik kepada pembeli sekali gus dapat mengekang penularan wabak Covid-19. – K! ONLINE