fbpx

Hafaz al-Quran, cemerlang dalam STAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hanzalah Yusoff berkongsi kegembiraan dengan ibunya, Roslina Abdullah kerana memperolehi kejayaan cemerlang dalam STAM 2020.

LUMUT – Tekad untuk membuktikan penghafaz al-Quran boleh cemerlang dalam akademik antara faktor kejayaan Muhammad Hanzalah Md. Yusoff meraih keputusan Mumtaz (cemerlang) dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 yang diumumkan hari ini.

Penghafaz al-Quran berusia 19 tahun itu berjaya memperoleh sembilan Mumtaz dan satu Jayyid Jiddan (sangat baik) dalam semua 10 mata pelajaran yang diduduki.

Pelajar terbaik STAM 2020 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Mizan, Manong, dekat Kuala Kangsar itu memasuki Tahfiz al-Ridzuan, Manong pada usia 13 hingga 15 tahun untuk menghafaz al-Quran.

Beliau tidak dapat melanjutkan pelajaran menengah di sekolah kerajaan kerana tidak mengambil PT3 lalu belajar di sekolah swasta At-Taalim, Lekir dekat sini dan memperoleh 7A, 1B dan 1C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum bersekolah di SABK Al-Mizan untuk mengambil STAM.

“Selalunya persepsi masyarakat bekas pelajar tahfiz tidak boleh pergi jauh (dalam akademik) jadi saya berazam mahu membuktikan al-hafiz juga boleh berjaya (dalam ilmu dunia).

“Malah, kemampuan menghafaz al-Quran banyak membantu dalam mengulang kaji pelajaran kerana dalam STAM banyak mata pelajaran yang memerlukan hafalan,” katanya kepada pemberita di Seri Manjung dekat sini hari ini.

Anak kepada pasangan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Md. Yusoff Omar, 54, dan suri rumah, Roslina Abdullah, 53, itu juga sering memohon doa kedua ibu bapanya setiap kali menghadapi peperiksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI