fbpx

Dua beradik, rakan Geng 36 didakwa menyamun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka.

MELAKA – Dua beradik ahli kongsi gelap Geng 36 serta dua lagi rakan mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan menggunakan sebilah parang, awal bulan ini.

Tertuduh, M. Jeyamurugan, 37; bersama adiknya Rejenderan, 35, dan rakan M.Murali, 32, serta K.K Anbu Kaniyan, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didakwa telah melakukan rompak berkumpulan dengan bersentakan sebilah parang terhadap mangsa Lee See Kiat, 54, dan mengambil harta melibatkan kerugian kira-kira RM500,000.

Antara barang yang diambil termasuklah sebatang taring dan kuku binatang, 13 bilah pedang pelbagai jenis, seutas jam Patek Philippe, sebuah bekas tertera tulisan Doshermano di dalamnya mengandungi curut berwarna coklat dan empat bilah keris.

Tindakan itu dilakukan kira-kira pukul 10.30 malam di tingkat 12-1 Kondominium Lagenda Jalan Klebang Besar/Kecil dalam daerah Melaka Tengah, pada 5 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan di bawah kanun yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat, manakala hukuman wajib sebat bagi Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan memaklumkan mangsa kejadian merupakan kenalan kepada salah seorang tertuduh dan bimbang dengan keselamatan mangsa, selain tertuduh mempunyai rekod lampau jenayah.

Tertuduh diwakili, Peguam Alif Ahmad Tarmizi bagaimanapun merayu jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya telah berkahwin dan mempunyai tanggungan masing-masing, selain menjaga ibu bapa yang uzur.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan tarikh 21 Julai depan sebagai sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI