COPENHAGEN – Denmark dijangka beraksi dalam keadaan penuh beremosi menjelang perlawanan Kumpulan B, Euro 2020 menentang Belgium di Stadium Parken tengah malam ini.
Mereka akan turun tanpa kelibat pemain tengah berpengaruh, Christian Eriksen yang mengalami serangan jantung ketika beraksi menentang Finland pada aksi pembukaan Ahad lalu.
Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand berkata, mereka sedia untuk melakukan segala-galanya pada perlawanan itu nanti bagi memastikan Belgium pulang dengan tangan kosong.
“Saya sentiasa katakan Eriksen adalah nadi yang menentukan rentak permainan pasukan. Bagaimanapun, kami terpaksa bermain menentang Belgium tanpa kehadirannya nanti.
“Meskipun Eriksen tiada, namun kami masih ada pemain-pemain lain yang boleh mengisi kekosongan itu. Kami akan cuba yang terbaik untuk pastikan Belgium berada dalam keadaan sukar,” katanya.
Selain itu, Hjulmand juga berharap anak-anak buahnya melakukan persiapan terbaik terutamanya dari segi mental memandangkan beberapa pemain dilaporkan masih trauma dengan insiden yang menimpa Eriksen.
“Kami perlu bersedia dari segi emosi apabila turun ke stadium nanti dan saya faham sekiranya ada pemain yang tidak mampu untuk beraksi pada tahap maksimum akibat kejadian sebelum ini,” ujarnya. – AGENSI