PETALING JAYA – Pelakon Dayang Areeda dihantui ketakutan selepas menerima mesej daripada individu tidak dikenali yang mahu menjual minyak pengasih kepadanya.
Menerusi mesej langsung (DM) yang dihantar di Instagram, individu terbabit menghantar sekeping gambar serta butiran mengenai manfaat penggunaan minyak pengasih yang dijual.
“Minyak pelet (pengasih), pelaris, pemasangan batin (aura). Berminat sila mesej,” tulis individu berkenaan.
Kongsi pemilik nama penuh Dayang Areeda Datu Abdul Razak, mesej itu diterima pada hari yang sama babak lakonannya sebagai Nasha dalam drama Masih Ada Rindu menggunakan minyak pengasih untuk memiliki lelaki idaman ditayangkan.
“Pada mulanya saya tidak mengambil serius mengenai mesej tersebut tetapi apabila difikirkan semula, rasa seram pula. Apa tujuan dia menjual minyak itu kepada saya?
“Memang kebetulan. Mesej itu saya terima pada hari yang sama babak Nasha guna minyak pengasih ditayangkan, pelik tetapi menyeramkan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Pelakon drama Derita Untuk Bahagia itu memberitahu, dia bagaimanapun tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan termasuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.
“Pada pandangan saya, mungkin hantaran mesej atau tawaran produk itu hanya kebetulan. Saya juga sudah pun menyekat akaun individu itu daripada mengakses akaun Instagram peribadi saya,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon berusia 27 tahun tersebut turut berdoa agar dijauhkan daripada semua amalan syirik yang dilaknati Allah.
“Jika tanya kepada saya mengenai pendinding diri, rasanya solat dan zikir mampu menghalangnya,” kata Dayang Areeda.