BEIJING – Kumpulan angkasawan pertama berlepas ke stesen angkasa lepas China yang baharu hari ini sekali gus langkah bersejarah dalam meletakkan Beijing sebagai kuasa utama angkasa lepas.
Tiga angkasawan tersebut menaiki roket Long March-2F menuju ke Tiangong di mana mereka akan berada di stesen angkasa lepas tersebut selama tiga bulan dalam pelancaran yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen pemerintah.
Roket Long March-2F dilancarkan pukul 9.22 pagi (waktu tempatan) dari pusat pelancaran Jiuquan di Gurun Gobi, barat laut China.
10 minit kemudian, Long March-2F sampai ke orbit, manakala kapal angkasa tersebut berpisah daripada badan roket tersebut.
“Menurut laporan pusat kawalan aeroangkasa Beijing, roket Long March-2F telah menghantar kapal angkasa Shenzhou-12 ke orbit yang ditetapkan.
“Panel solar kapal angkasa itu terbuka dengan jayanya dan kami mengisytiharkan misi Shenzhou-12 berjaya sepenuhnya,” kata Pengarah Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, Zhang Zhifen.
Kapal angkasa Shenzhou-12 akan berlabuh dengan seksyen utama stesen angkasa lepas itu yang diletakkan di orbit pada 29 April lalu. – AFP