LONDON – Sekumpulan penunggang motosikal di Britain mendedahkan tentang kewujudan bulatan jalan dengan tiga bulatan lain di dalamnya yang mengelirukan, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Gambar dron menunjukkan bulatan yang baru dibuka di Douglas, Isle of Man itu memiliki tiga bulatan lain di tengah-tengah persimpangan yang menghubungkan tiga jalan raya.
Penduduk tempatan mengecam reka bentuk bulatan itu dan menyifatkan ia sebagai ‘tidak masuk akal’.
Pentadbiran pulau itu bagaimanapun berkata, bulatan itu sama sahaja seperti bulatan jalan yang lain dan penunggang motosikal ‘akan terbiasa dengannya kelak’.
Seorang jurucakap kerajaan memberitahu The Sun Online bahawa satu lagi bulatan dengan reka bentuk serupa akan dibuka di kawasan berdekatan.
Penduduk tempatan yang merakam gambar itu, Craig Goffin berkata reka bentuk bulatan itu amat pelik.
“Ia tidak masuk akal, mengapa mereka tidak letak bulatan biasa sahaja di situ? Ia mengelirukan semua orang,” katanya.
Ia turut dikecam pengguna media sosial lain dan ada netizen menyifatkannya sebagai berbahaya.
“Reka bentuk sebegini ibarat permainan minda yang dilihat dalam buku,” tulisnya.
Menteri Infrastruktur, Tim Baker berkata,bulatan sebegitu merupakan reka bentuk jalan raya yang moden dan sudah digunakan di Britain sejak beberapa tahun lalu.
“Saya rasa sebaik sahaja kawasan ini siap sepenuhnya, penunggang motosikal akan terbiasa dengan bulatan itu,” katanya. -Agensi