MOMEN-momen menyaksikan episod pertama program Running Man pada Julai 2010 yang diperkenalkan kepada penonton oleh stesen SBS masih dalam ingatan.
Hanya diawali dengan sesi pengenalan ahli, namun sudah banyak perkara lucu menggeletek hati.
Biarpun kebanyakan ahli pada ketika itu sudah biasa menyertai program lain, namun kelibat beberapa wajah yang agak asing seperti Kang Gary dan Lee Kwang-soo mengundang usikan.
Menjadi ahli paling muda bersama rakan pelakon Song Joong-ki, kehadiran Kwang-soo sebenarnya menarik perhatian dek fizikal dan ketinggian luar biasanya.
Itu sedikit sedutan ulang tayang episod pertama program berkenaan yang kini akan menjadi memori buat penggemarnya, selepas Kwang-soo mengambil keputusan mengundur diri.
Menerusi tayangan episod ke-559 pada Ahad lalu, ‘larian’ karier pelakon berusia 36 tahun itu menemui garisan penamat apabila pada April lalu dia membuat pengumuman mengejutkan peminat.
Tunaikan hasrat
Dalam episod berkenaan, pelakon dan model tinggi lampai itu bertemu dengan petugas produksi untuk merakam memori bersama anggota yang lain di beberapa lokasi yang pernah dikunjungi sebelum ini.
“Pertama, saya mahu ke tempat yang kami melakukan penggambaran buat pertama kali. Kami juga kerap ke Sungai Han dan cuaca di sana sekarang sangat baik.
“Untuk makanan pula, saya ada memori kami menikmati ayam dan kalguksu (mi sup) ketika penggambaran di rumah saya. Jika boleh, saya mahu makan perut khinzir. Seronok juga kalau dapat pergi ke bar LP sekali lagi,” katanya.
Seperti diinginkan Kwang-soo, minit pertama episod berkenaan menyaksikan mereka berada di lokasi pertama penggambaran Running Man, 11 tahun lalu.
Biarpun dalam keadaan berdukacita, namun petugas produksi tetap menyuntik elemen lucu apabila menjatuhkan hukuman penjara selama 1,050 tahun atas segala pengkhianatan dan perbuatannya selama ini.
Kwang-soo yang mengenakan baju pesalah berwarna jingga dengan nombor badan 3991 yang merupakan simbolik kepada jumlah harinya bersama Running Man dibantu anggota lain untuk mengurangkan tempoh hukuman.
Larian terakhir
Kwang-soo menerusi agensinya mengesahkan pengunduran diri daripada Running Man berikutan masalah kesihatan yang dialami selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun lalu sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian buku lalinya.
Impak tragedi tersebut, Kwang-soo berdepan kesukaran mengekalkan stamina untuk kekal aktif, khususnya dalam sesebuah program yang memerlukan banyak pergerakan seperti Running Man.
Agak berat hati, namun dalam surat yang ditulis buat semua rakan-rakannya, Kwang-soo menghargai setiap momen dan kasih sayang yang diberikan kepadanya selama tempoh 11 tahun ‘berlari’ bersama.
“Semua anggota banyak membantu saya untuk sampai ke tahap ini. Mereka ibarat keluarga dan saya sangat menghargai semua orang.
“Maafkan saya. Maafkan saya sekali lagi. Saya bukan yang terhebat sepanjang 11 tahun lalu, tetapi saya sentiasa cuba memberikan yang terbaik.
“Running Man merupakan program yang menonjolkan kemampuan semua orang sepanjang penggambaran. Saya bahagia dan berterima kasih untuk semuanya,” ujarnya dalam nada sebak.
Ikon pengkhianat, zirafah, ‘Prince of Asia’
Sebelum muncul dalam Running Man, karier Kwang-soo diawali di pentas peragaan. Dia melakukan debut dalam lakonan menerusi sitkom Here He Comes (2008).
Seiring populariti yang tercipta, dua tahun kemudian, nama Kwang-soo semakin laris dengan lambakan tawaran drama dan filem.
Berada di atas dua landasan populariti pada waktu yang sama membuatkan nama lelaki itu pantas meniti di bibir peminat, bukan sekadar di Korea Selatan bahkan pengaruhnya melebar ke luar negara.
Buktinya, dalam beberapa episod yang memaparkan ahli Running Man menjalankan misi di luar negara terutamanya Asia, Kwang-soo antara yang paling menjadi perhatian.
Terkenal dengan jolokan zirafah kerana ketinggian dimilikinya iaitu 191 sentimeter (sm), Kwang-soo juga diberi gelaran lain seperti Prince of Asia.
Hal ini kerana, dia memiliki jumlah peminat yang luar biasa jumlahnya di negara Asia seperti China, Taiwan, Filipina, Indonesia termasuklah Malaysia.
Tidak dilupakan, gelaran si malang yang diberikan kepadanya kerana selalu mendapat nasib yang baik setiap kali bersaing dengan rakan-rakan lain, contohnya, selalu tersingkir awal.
Selamat tinggal, Kwang-soo. Terima kasih atas segala gelak tawa, keletah menghiburkan dan jenaka mencuit hati sepanjang 11 tahun bersama Running Man.
Pastinya, pengunduran lelaki itu mencipta ruang kosong yang memilukan untuk dikenang.
Tiada lagi pengkhianat, si zirafah dan Putera Asia yang kacak menghiburkan hari-hari para penggemar dunia Running Man.
Sungguhpun begitu, nama Kwang-soo pasti akan tetap tersemat indah dalam hati setiap penonton setia Running Man dan peminat yang sentiasa mengharapkan kejayaan berterusan untuk bintang K-pop itu dalam apa jua pekerjaan yang dilakukannya kelak.