BEIJING – Seekor babi yang menjadi ikon negara China selepas terselamat di bawah timbunan runtuhan selama 36 hari susulan gempa bumi pada 2008, mati pada usia 14 tahun sekali gus mengundang kesedihan orang ramai hari ini.
Zhu Jianqiang yang bermaksud ‘Babi Gagah’ melonjak popular setelah ia ditemui masih hidup selepas gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter menggegarkan wilayah Sichuan, barat daya China pada 12 Mei 2008.
Gempa bumi itu mengakibatkan hampir 90,000 orang sama ada terkorban atau hilang, manakala kisah babi itu dianggap sebagai simbol kecekalan dalam usaha untuk terus hidup.
Beberapa saksi berkata, Zhu Jianqiang hilang begitu banyak berat badan dan kelihatan seperti seekor kambing ketika ditemui.
Sebuah muzium tempatan dekat bandar Chengdu telah membeli babi popular itu pada harga 3,008 yuan (RM1,934) dan dipelihara untuk dijadikan sebagai tarikan pelancong.
Haiwan itu mati kerana ‘usia tua dan keletihan’ malam semalam, kata pihak muzium di laman sosial China, Weibo.
Jika dibandingkan dari sudut usia manusia, babi itu sudah berusia 100 tahun, lapor akhbar Global Times.
Paparan di Weibo bersama tanda pagar ‘Babi Gagah Sudah Mati’ merekodkan hampir 300 juta tontonan menjelang tengah hari ini dan semakin meningkat.
Zhu Jianqiang dilabelkan sebagai ‘babi paling terkenal dalam sejarah’. – Agensi