PETALING JAYA – Seramai 764 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 722 individu dikompaun manakala 42 lagi individu direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah individu gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (162), tidak memakai pelitup muka (138), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran atau makan di premis (100) dan tiada penjarakan fizikal (94).
“Kesalahan lain termasuklah tidak patuh arahan kawalan pergerakan (91), membawa penumpang berlebihan (78), premis gagal patuhi arahan (7) dan lain-lain (94),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditangkap manakala dua buah kenderaan darat serta empat buah bot atau kapal berjaya dirampas menerusi Op Benteng semalam.
“Dalam operasi itu, sebanyak 227 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui tiga aktiviti penglihatan,” katanya yang turut memberitahu, sebanyak 957 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam. – K! ONLINE