PETALING JAYA – Tiga rakyat Malaysia mengharumkan nama negara apabila berjaya membolot tiga kedudukan teratas dalam pusingan kelayakan bagi menyertai pertandingan Fei World Endurance Championship 2021 yang berlangsung di Burscheid, German baru-baru ini.
Salah seorang peserta, Muhammad Imran Eirfan Anwar berkata, kejayaan itu adalah sesuatu yang amat membanggakan memandangkan mereka terpaksa bersaing dengan peserta dari luar negara dalam keadaan cuaca serta bentuk muka bumi yang mencabar.
“Pertandingan ini memerlukan peserta melalui laluan yang mencabar dalam keadaan hujan serta suhu yang sangat sejuk malah saya sendiri terpaksa memakai pakaian yang sangat tebal dan dalam masa yang sama perlu melengkapkan perjalanan menunggang kuda sejauh 120 kilometer(KM).
“Selain harus melengkapkan cabaran menunggang kuda sejauh 120KM, peserta juga perlu mengawasi kesihatan kuda dan tidak terlalu memaksa haiwan tersebut bagi mengelakkannya mengalami kecederaan,” katanya menerusi satu siaran langsung di platform Facebook kolej berkenaan hari ini.
Muhammad Imran Eirfan yang juga merupakan penuntut Kolej Islam Assofa dalam bidang Syariah Islamiyah berkata, kejayaan merangkul tempat ketiga itu membolehkannya meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya sebelum melangkah ke peringkat akhir pada September depan.
“Pertandingan ini menggunakan sistem ranking di mana setiap peserta perlu mengumpul mata untuk dibawa ke peringkat seterusnya jadi selepas ini saya perlu menyertai satu lagi peringkat cabaran untuk mengumpul mata sebelum boleh melangkah ke peringkat akhir.
“Syukur, kami bertiga berjaya menamatkan cabaran 120KM tanpa sebarang masalah sekaligus merangkul tempat pertama, kedua serta ketiga dan kami kini sedang melakukan persediaan untuk peringkat seterusnya sebelum melangkah ke peringkat akhir di Ermelo, Belanda September depan,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Muhammad Imran Eirfan menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang mendoakan kejayaan mereka dan akan memberikan yang terbaik dalam membawa kemenangan kepada negara.
“Terima kasih saya ucapkan kepada ahli pasukan termasuk pihak pengurus yang tidak henti merancang strategi saingan sehingga kami berjaya membawa pulang kemenangan ini dan tidak lupa juga kepada rakan-rakan serta pensyarah yang mendoakan kejayaan kami di sini.
“Walaupun saya tidak dapat membalas setiap ucapan dan doa yang dikirimkan menerusi pelbagai platform media sosial tapi percayalah bahawa ucapan dan doa daripada kalian menjadi pendorong serta penguat semangat kepada kami di sini,” ujarnya.- K! ONLINE